Nissan Pathfinder Kini Lebih Rugged
Nissan telah memperkenalkan Pathfinder generasi kelima yang hadir dengan reka bentuk lebih gagah serta transmisi baharu. Turut dikenali sebagai Terrano, Pathfinder merupakan SUV saiz pertengahan dengan tiga barisan tempat duduk yang dikeluarkan oleh Nissan sejak 1986.
Tidak seperti model terdahulu yang kelihatan lebih seperti sebuah sedan, Pathfinder kini menampilkan rekaan bentuk bersegi yang memberikannya imej yang lebih rugged. Namun, ini tidak bermakna ia tidak bergaya. Lampu utama berbentuk C, gril V-motion dan bumbung terapung adalah antara beberapa elemen moden yang diterapkan, manakala tiga lubang udara di atas gril mengimbau kembali rekaan model generasi pertama.
Masuk ke dalam, pemandu dan penumpang akan disapa oleh ruang kabin yang moden dan luas. Bergantung pada varian, Pathfinder dilengkapi dengan panel instrumen digital berukuran 12.3 inci, paparan ‘head up’ 10.8 inci, skrin infotainmen 9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, ciri pelarasan kuasa 10-hala pada tempat duduk pemandu dan sistem pendingin hawa tiga zon.
Konfigurasi lapan tempat duduk adalah standard, namun buat pertama kalinya untuk Pathfinder, Nissan menawarkan pilihan kerusi kapten pada barisan kedua. Bukan itu sahaja, kerusi barisan kedua juga mempunyai butang EZ Flex untuk memberikan akses mudah kepada penumpang di barisan ketiga, manakala kerusi barisan ketiga boleh dilipat 60/40.
Menurut Nissan, ruang kargo Pathfinder boleh memuatkan boleh memuatkan cooler berkapasiti 113 liter atau empat beg golf tanpa perlu melipat kerusi barisan ketiga. Aspek NVH turut ditambah baik menerusi penggunaan kaca akustik yang lebih tebal serta 60% lebih banyak penebat bunyi di dalam ruang enjin.
Bercakap tentang enjin, Pathfinder baharu mengekalkan enjin petrol 3.5-liter V6 yang mampu menjana 284 hp dan 351 Nm. Bagaimanapun, transmisi jenis CVT yang kurang digemari sebelum ini telah digantikan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan baharu yang dikatakan lebih responsif.
Varian 4WD dilengkapi dengan sistem Intelligent 4WD Nissan berserta Terrain Mode Selector yang menawarkan tujuh mod pemanduan iaitu Standard, Sport, Eco, Snow, Sand, Mud/Rut dan Tow. Jika dilengkapi dengan peralatan yang sesuai, SUV ini boleh menunda beban sehingga 6,000 paun (2,721 kg).
Dari segi teknologi, Pathfinder didatangkan dengan ciri ProPilot Assist yang boleh membantu mengawal stereng, pendikit dan brek, sekaligus menjadikan pemanduan di lebuh raya lebih mudah dan kurang memenatkan.
No Comment