Mustang Ini Mempunyai 810 HP Dan Badan Gentian Karbon
Apabila sebuah kereta klasik ‘dilahirkan’ semula dengan bantuan teknologi moden, hasilnya sudah pasti sangat memukau. Inilah yang boleh diperkatakan mengenai Shelby GT500CR Mustang yang dihasilkan oleh Classic Recreations (CR) ini.
Dibangunkan dengan kerjasama SpeedKore, Mustang ini sekilas pandang tampak seperti Mustang Fastback lain di luar sana namun ia sebenarnya mempunyai badan yang diperbuat daripada gentian karbon sepenuhnya.
Untuk membinanya, CR pertama sekali mengimbas sebuah GT500CR sebenar yang diperbuat daripada keluli. Reka bentuk setiap panel badan kemudiannya direka dengan bantuan perisian CAD, sebelum ia dibentuk di dalam acuan.
Hasilnya adalah sebuah replika yang bukan sahaja mempunyai ukuran dan perincian yang tepat, malah dengan badan yang lebih ringan sebanyak 272 kg.
Untuk kuasa, CR menggunakan enjin Coyote 5.2-liter V8 yang dipadankan dengan supercharger Whipple berkapasiti 5.2 liter. Enjin buatan Ford itu mampu menghasilkan 810 hp dan 813 Nm, yang disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik 10 kelajuan.
Shelby GT500CR Mustang versi gentian karbon ini didatangkan rim Forgeline 18 inci yang dibalut tayar BFGoodrich Rival S bersaiz 275/35 di hadapan dan 335/30 di belakang. Di sebalik roda tersebut adalah cakera brek berukuran 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang, dengan angkup enam piston keluaran Willwood.
Unit yang ditampilkan ini mempunyai corak gentian karbon terdedah yang dihiasi dengan jalur merah, namun pelanggan boleh memilih warna-warna lain mengikut citarasa masing-masing. Ruang dalaman pula menampilkan pelapik bumbung Alcantara, upholsteri kulit ProCar, meter berwarna merah serta sistem multimedia Kenwood yang dipadankan dengan pembesar suara Kicker.
No Comment