Tesla Kembali Ke Singapura
Nampaknya kita mempunyai satu lagi sebab untuk berasa iri hati dengan jiran kita, Singapura. Menurut laporan The Straits Times, Tesla telah melancarkan portal jualannya untuk pasaran Singapura, menandakan kepulangannya ke republik itu selepas 10 tahun.
Berdasarkan pada apa yang dapat dilihat menerusi laman web Tesla, pengeluar kenderaan elektrik (EV) dari California itu akan menawarkan Model S, Model X dan Model 3 untuk pelanggan mereka di negara itu. Bagaimanapun, setakat ini hanya Model 3 dibuka untuk tempahan.
Model sedan fastback elektrik itu akan ditawarkan dalam dua pilihan trim iaitu Standard Range Plus dan Performance. Ditawarkan pada harga $112,845 (RM343,939) sebelum kos sijil pemilikan (COE), Model 3 Standard Range Plus dengan pacuan roda belakang mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.6 saat, mencapai kelajuan maksimum 225 km/j dan mempunyai jarak pemanduan sejauh 448 km.
Sementara itu, dengan kehadiran konfigurasi motor berkembar dan pacuan semua roda, Model 3 Performance hanya memerlukan 3.3 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j. Ia boleh memecut sehingga 261 km/j dan jarak pemanduannya pula lebih jauh iaitu 567 km. Ia dijual pada harga $154,815 (RM471,859) tidak termasuk kos COE.
Walapun Autopilot didatangkan secara standard, ciri pemanduan autonomi sepenuhnya dengan fungsi Auto Lane Change, Autopark dan Summon ditawarkan sebagai opsyen berharga $11,500 (RM35,050) pada kedua-dua trim. Selain itu, pilihan lain seperti cat metalik dan multi-coat, rim lebih besar dan ruang dalaman putih juga boleh dipesan dengan kos tambahan.
Bergantung pada kos COE semasa, Model 3 paling asas boleh jadi lebih murah berbanding sebuah Toyota Camry baharu (berharga $153,888 atau RM468,956), jadi tidak hairanlah Tesla dilaporkan telah menerima lebih 5,000 tempahan untuk EV itu. Pada ketika ini anda mungkin tertanya-tanya bagaimana Tesla mampu memberikan harga yang kompetitif di Singapura, iaitu negara yang paling mahal untuk memiliki sebuah kereta.
Ini sebabnya. Setahun yang lalu, kerajaan Singapura mengumumkan belanjawan 2020-nya dan salah satu perkara utama yang digariskan adalah pemberian insentif yang lebih menarik bagi mempromosikan kenderaan hijau. Sebagai sebuah EV, Model 3 layak mendapat rebat EV Early Adoption Incentive (EEAI) bernilai $20,000 (RM60,957) dan rebat Vehicular Emissions Scheme (VES) bernilai $25,000 (RM76,197). Bukan itu sahaja, kerajaan republik itu juga telah merangka pelan untuk mengembangkan jaringan infrastruktur pengecasan mereka.
Jadi, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa negara-negara jiran kita telah kini maju setapak dalam mengadaptasi EV sebagai mod pengangkutan utama. Sayangnya, ini juga bermakna industri automotif kita semakin ketinggalan akibat pelbagai ketidaktentuan serta Dasar Automotif Nasional (NAP) yang tidak menjadikan EV sebagai agenda utama.
No Comment