Audi e-tron GT Hadir Sebagai Pesaing Tesla Model S
Di antara tiga pengeluar kereta Jerman yang utama, Audi adalah jenama yang paling agresif dengan strategi elektrifikasinya. Ia bermula pada 2018 dengan SUV elektrik sepenuhnya yang dikenali sebagai e-tron, diikuti dengan e-tron Sportback yang tampil dengan penggayaan coupe. Kini, mereka telah memperkenalkan pesaing terdekat Tesla Model S iaitu e-tron GT.
Seperti Porsche Taycan, e-tron GT dibina di atas platform J1 yang menggunakan teknologi 800-volt untuk pengecasan pantas 270 kW, di samping menggunakan pek bateri 93 kWj. Bagaimanapun, tidak seperti Taycan yang boleh didapati dalam versi pacuan roda belakang dengan motor elektrik tunggal, e-tron didatangkan standard dengan dua buah motor elektrik, sekaligus memberikannya pacuan semua roda quattro.
e-tron GT boleh didapati dalam dua versi iaitu versi asas yang dikenali sebagai e-tron GT quattro dan RS e-tron GT yang lebih berkuasa. Berikut adalah perincian ringkas bagi kedua-dua versi tersebut:
e-tron GT quattro
- Mempunyai 476 PS dan 630 Nm secara standard, boleh ditingkatkan kepada 530 PS dan 640 Nm untuk sementara dalam mod Boost
- Boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.1 saat, kelajuan maksimum 245 km/j
- Jarak pemanduan adalah sekitar 487 km
- Didatangkan standard dengan lampu LED yang boleh dinaik taraf kepada Matrix LED atau lampu laser
- Pilihan rim aluminium aloi dari 19 hingga 21 inci
- Cakera brek keluli berukuran 420 mm dibekalkan standard, boleh dinaik taraf kepada unit tungsten karbid atau gentian karbon seramik
- Dijual pada harga EUR99,800 (RM489,144)
RS e-tron GT
- Mempunyai 598 PS dan 830 Nm atau 646 PS dengan mod Boost
- Pecutan 0-100 km/j boleh dilakukan dalam 3.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j
- Jarak pemanduan sekitar 472 km dengan satu cas penuh
- Lampu Matrix LED disertakan standard, boleh dinaik taraf kepada lampu laser
- Didatangkan standard dengan rim aluminium aloi 20 inci
- Dilengkapi dengan sistem suspensi udara dengan mod Comfort, Efficiency, Dynamic dan Individual
- Kunci ‘differential’ gandar belakang adalah standard pada varian ini
No Comment