Porsche 911 Ini Direstorasi Oleh Gunther Werks
Gunther Werks baru sahaja menyiapkan projek restorasi Porsche 911 (generasi 993) yang dikenali sebagai Irish Green Commission.
Seperti yang tertera pada namanya, jentera ini didatangkan dalam warna hijau Irish Green. Ia dikontraskan dengan kemasan gentian karbon pada bahagian bonet dan bumbung, serta warna emas pada bahagian sisi dan rim ala-Fuchs itu.
Sementara itu, ruang dalaman jentera ini pula dihiasi dengan upholsteri kulit English Tan, balutan Alcantara serta trim gentian karbon pada bahagian belakang tempat duduk, panel pintu dan papan pemuka.
Pemilik Irish Green Commision turut memilih pakej Touring yang merangkumi balutan kulit yang lebih tebal dan penebat bunyi tambahan, sekaligus menjadikan ia lebih selesa untuk pemanduan seharian.
Kuasa dibekalkan oleh enjin ‘boxer’ enam silinder bersesaran 4.0 liter yang dibina oleh Rothsport Racing. Enjin tersebut mampu menjana kuasa berjumlah 435 hp dan 454 Nm.
Selain itu, jentera ini juga didatangkan dengan sistem brek Brembo dan sistem suspensi yang dihasilkan oleh Eisenlohr Racing dan JRZ Suspension Engineering.
Irish Green Commission merupakan salah satu daripada 25 unit Porsche 911 993 yang dihasilkan di bawah program restorasi ‘993 Remastered’ Gunther Werks.
No Comment