Kia EV6 – Crossover Elektrik Terbaharu Dari Korea Selatan
Kia telah mendedahkan beberapa gambar serta video teaser bagi kenderaan elektrik bateri (BEV) pertamanya yang dibina di atas platform Electric-Global Modular Platform atau lebih dikenali sebagai E-GMP. Platform ini juga digunakan oleh Hyundai Ioniq 5 yang diperkenalkan baru-baru ini.
Menurut Kia, model baharu itu akan dikenali sebagai EV6. Ia merupakan sebahagian daripada strategi penamaan baharu, di mana semua kenderaan BEV keluaran jenama itu akan menggunakan awalan ‘EV’, diikuti dengan nombor yang menunjukkan kedudukan sesuatu model itu di dalam barisan.
Dari segi penggayaan, model baharu itu akan menampilkan bahasa reka bentuk terkini Kia yang memfokuskan kepada elektrifikasi. Walaupun gambar-gambar yang disiarkan tidak begitu jelas, anda boleh lihat bahawa EV6 akan hadir sebagai sebuah crossover dengan garis bumbung yang agak rendah dan sporty.
Sementara itu, video-video teaser tersebut pula menunjukkan EV6 mempunyai grafik berjujukan pada lampu hadapan dan belakang, sekaligus menjadikannya sebuah produk yang moden dan premium.
Maklumat terperinci mengenai aspek teknikal crossover elektrik itu masih belum didedahkan, namun ia dijangka tidak jauh berbeza dengan Ioniq 5. Apa-apa pun, kita tunggu pelancaran model itu yang dijangka akan berlangsung pada suku pertama tahun ini.
No Comment