Beberapa Idea Kit Badan Untuk Perodua Ativa Anda
Seperti Aruz, Axia dan beberapa model lain yang dilancarkan sebelum itu, Ativa boleh didapati dengan barisan aksesori GearUp termasuk kit badan. Walaupun ia menawarkan nilai yang baik kerana ia boleh dimasukkan sekali dalam jumlah pinjaman sewa beli, kit badan yang dipasang di kilang itu mungkin tidak sesuai dengan citarasa semua.
Oleh kerana Ativa berkongsi platform yang sama dengan Daihatsu Rocky dan Toyota Raize, crossover kompak dari Rawang itu pastinya sesuai dengan pelbagai kit badan aftermarket yang asalnya direka untuk kedua-dua model JDM itu. Ini secara tidak langsung memberikan pemilik lebih banyak pilihan kit badan yang menarik dari pelbagai pengeluar rasmi.
Sudah tentu, mungkin ada sesetengah pemilik Ativa yang ingin memilih kit convert Rocky atau Raize standard namun mereka yang ingin menambah daya tarikan boleh melihat katalog Modellista yang mengandungi dua rekaan kit badan. Yang pertama adalah pakej aerokit ‘Advance Blast Style’ yang mempunyai skirting yang menonjol pada bahagian hadapan, belakang dan sisi, serta spoiler bumbung.
Sementara itu, pakej ‘Elegant Ice Style’ pula merangkumi komponen-komponen yang sama namun dengan penggayaan yang lebih santai. Selain bahagian-bahagian yang disebutkan tadi, pelanggan juga boleh mendapatkan muncung ekzos petak, serta kemasan krom pada lampu hadapan, tailgate dan cermin belakang.
Pemilik Ativa pastinya akan gembira apabila mengetahui yang Toyota Racing Development (TRD) juga mempunyai kit badan rekaan mereka tersendiri. Tidak seperti kit Modellista, kit TRD ini didatangkan dalam warna dua tona merah dan hitam yang menarik dan sporty. Walaupun begitu, ia mungkin tidak sesuai dipadankan dengan warna Pearl Delima Red dan Cobalt Blue.
Jika pakej-pakej dari Modellista dan TRD ini tidak menarik perhatian anda, pilihan kit badan dari syarikat-syarikat yang kurang dikenali ini tidak kurang menariknya. Antaranya adalah kit badan Zeus ala VIP dari M’z Speed dan kit Raize-RS yang dibangunkan oleh KUHL Racing. Untuk mereka yang lebih berani, kit Albermo BDS ini akan mentransformasikan Ativa mereka kepada Lamborghini Urus.
Apa yang ingin diperkatakan di sini adalah pemilik Ativa mempunyai pelbagai pilihan untuk mencantikkan kereta mereka. Cuma, pastikan kit itu dibeli dari wakil pengedar rasmi dan dipasang oleh golongan profesional. Memasang kit badan aftermarket sepatutnya tidak membatalkan waranti asalkan ia tidak dihubungkan kepada sistem elektronik atau CAN bus kenderaan. Bagaimanapun, kami mencadangkan agar anda menghubungi pihak Perodua terlebih dahulu bagi mendapatkan kepastian.
No Comment