Volkswagen Taigo Bakal Dilancarkan Di Eropah
Nampaknya Volkswagen masih belum selesai mengembangkan portfolio crossover-nya kerana menurut syarikat itu, terdapat satu lagi model yang akan dilancarkan ke pasaran Eropah tidak lama lagi. Dikenali sebagai Taigo, ia merupakan crossover kompak (atau Crossover Utility Vehicle) ala coupe yang berasaskan model Nivus yang dijual secara eksklusif di Brazil.
Model sebenar masih belum didedahkan, namun imej-imej ini memberikan pandang pertama yang jelas penawaran terbaharu itu. Seperti Nivus, T-Cross, Polo dan beberapa model kompak lain di bawah VW Group, model baharu ini dibina berasaskan platform MQB A0.
Walaupun rekaan bahagian hadapannya tampak serupa dengan model Amerika Selatan itu, Taigo dilihat mempunyai penampilan yang lebih premium dengan adanya jalur LED yang merentangi sepanjang gril. Konsep rekaan yang sama turut digunakan pada lampu belakang.
Unit yang dipertontonkan ini merupakan model R-Line, berdasarkan kepada logo ‘R’ yang terpampang pada gril serta bukaan yang besar pada bampar hadapan. Pada bahagian sisi, kemasan hitam menyerlahkan imej crossover Taigo, manakala di belakang, spoiler bumbung dan kemasan ekzos trapezoid memperkuatkan lagi karakter sporty model ini.
Rekaan ruang dalaman masih belum didedahkan namun kami menjangkakan susun aturnya tidak jauh berbeza dengan T-Cross atau Nivus. Volkswagen berkata bahawa Taigo akan menampilkan konsep operasi yang moden, kokpit digital sepenuhnya serta pelbagai sistem bantuan.
Untuk enjin pula, Taigo bakal ditawarkan dengan barisan enjin TSI. Jangkaan kami adalah enjin 1.0-liter tiga silinder dan 1.5-liter empat silinder.
Dipasang di Pamplona, Sepanyol, Taigo akan diperkenalkan sepenuhnya pada musim panas nanti, sebelum menerjah pasaran menjelang akhir tahun ini.
No Comment