BMW R 1250 RT Masuk Pasaran Malaysia – RM142,500
BMW Motorrad Malaysia telah melancarkan satu lagi model ke dalam barisan motosikal pengembaraan mereka iaitu BMW R 1250 RT. Ia ditawarkan pada harga RM142,500 (harga atas jalan tanpa insurans) berserta waranti tiga tahun serta program bantuan tepi jalan tiga tahun.
R 1250 RT tampil lebih berani dengan rekaan fairing terbaharu yang dioptimumkan untuk prestasi dinamik, serta lampu depan LED adaptif. Lampu isyarat membelok ‘comfort’ dan lampu belakang juga menggunakan teknologi LED. Turut disertakan secara standard adalah rim aluminium.
Selain itu, model ini juga didatangkan dengan rak bagasi, kompartmen muatan, tongkat tengah, bekas panier integral, hon dwitona serta cermin penghadang angin boleh laras. Untuk keselesaan penunggang, terdapat juga ciri-ciri seperti tuil klac dan brek tangan boleh laras, dan fungsi pemanas pada bar hendal.
Kuasa dibekalkan oleh enjin boxer dua silinder bersesaran 1,254 cc yang menghasilkan 136 hp pada 7,750 rpm dan 143 Nm pada 6,250 rpm. Enjin yang mematuhi piawaian Euro 5 itu dilengkapi dengan teknologi BMW ShiftCam dengan kawalan aci sesondol boleh ubah bagi pemasaan injap dan peninggian injap (valve lift) yang bervariasi pada bahagian salur masuk.
R 1250 RT didatangkan dengan suspensi elektronik Dynamic ESA “Generasi Baharu” dengan kompensasi beban automatik 100%. Topang suspensi belakang dengan ciri redaman berasaskan tunggangan, prabeban belakang dan lantunan belakang yang dapat dilaras, termasuk penstabil stering turut dimanfaatkan oleh jentera baharu ini.
Suspensi hadapan BMW Motorrad Telelever meningkatkan keselesaan tunggangan dan melengkapi fungsi ABS. BMW Motorrad Paralever pula menggandingkan konsep rekaan sporty dengan struktur ringan yang konsisten untuk menjamin karakteristik maklum balas yang amat sensitif bagi suspensi roda belakang, selain membekalkan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi.
Sistem elektronik yang tersedia termasuklah Kawalan Cengkaman Dinamik (Dynamic Traction Control), BMW Motorrad Full Integral ABS Pro, Kawalan Permulaan Curam (Hill Start Control) serta Kawalan Luncur Aktif (Active Cruise Control) yang disertakan menerusi Dynamic Package.
Untuk sistem infotainmen, model ini mendapat Connectivity dengan skrin TFT berwarna 10.25 inci dengan fungsi Bluetooth dan navigasi yang disediakan melalui aplikasi BMW Motorrad Connected. Sistem Audio 2.0/Perisian Radio juga membekalkan hiburan muzik ketika menunggang. Ia hadir dengan fungsi bunyi yang menyeluruh melalui Sistem Komunikasi BMW Motorrad (BMW Motorrad Communication System).
Disediakan dalam penggayaan Style Sport dan Style Elegance, R 1250 RT dilengkapi dengan pakej Comfort dan Dynamic yang merangkumi Gear Shift Assistant Pro, fungsi Tunggangan Tanpa Kunci (Keyless Ride), sistem pengunci sentral, pemanas tempat duduk, pelumpuh elektrik dengan sistem amaran antikecurian, kawalan tekanan tayar, soket 12 V, serta sambungan telefon bimbit dengan pengecas tanpa wayar.
No Comment