Sprinter Petronas Edition – Trak Tunda Penuh Gaya
Tahun lalu, Mercedes-Benz Sprinter mencapai ulang tahunnya yang ke-25. Sebagai tanda penghargaan, sebuah syarikat dari Poland iaitu Kegger telah menghasilkan sebuah trak tunda edisi khas berasaskan model van komersial yang ikonik itu.
Kegger merupakan pembina koc yang mengkhususkan dalam pembinaan trak tunda pelbagai jenama seperti Opel, Fiat, Iveco dan juga Mercedes-Benz, maka tidak hairanlah jika trak ini kelihatan seperti dihasilkan oleh Mercedes sendiri.
Dikenali sebagai Sprinter Petronas Edition, trak tunda ini mempunyai flatbed yang boleh diakses menggunakan dua tanjakan. Apa yang menarik, ia juga mempunyai kompartmen peralatan dan kotak kargo terbina dalam yang terletak pada bahagian belakang flatbed tersebut.
Selain itu, ia menggunakaan rekaan bampar baharu dengan bukaan udara yang lebih luas serta lip spoiler. Dengan gril berwarna hitam dan rim aloi 18 inci yang didatangkan dalam warna yang sama, tidak mustahil Sprinter Petronas Edition adalah antara trak tunda paling sporty di atas muka bumi ini.
Ruang dalamannya pula tidak ubah seperti mana-mana model kenderaan penumpang keluaran Mercedes-Benz dengan penggunaan upholsteri Alcantara dan kulit yang disudahi dengan jahitan hijau pada tempat duduk, papan pemuka dan panel pintu. Ia juga dilengkapi dengan sistem audio professional, manakala penebat bunyi tambahan turut ditambah bagi menghasilkan suasana ruang kabin yang lebih senyap dan selesa.
Menurut Kegger, trak tunda ini menggunakan varian Sprinter paling berkuasa di Eropah iaitu 319 CDI yang mempunyai enjin turbodiesel 3.0-liter V6 yang menghasilkan 190 hp dan 440 Nm. Kuasa disalurkan ke gandar belakang menerusi oleh transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Di samping enjin yang berkuasa, model ini juga dilengkapi dengan sistem suspensi udara.
Terhad kepada 25 unit sahaja, Sprinter Petronas Edition dijual pada harga bermula dari €125,000 (RM609,335).
No Comment