Vespa Primavera Pic Nic Dilancarkan – RM19,900
Pengedar rasmi skuter Vespa di Malaysia iaitu Didi Resources Sdn Bhd hari ini melancarkan satu lagi model baharu iaitu Vespa Primavera Pic Nic.
Menampilkan tema aktiviti berpiknik, model edisi istimewa ini dilengkapi dengan tali kulit berwarna beige pada rak depan dan belakang secara standard. Ruang letak kaki menampilkan warna coklat klasik, manakala tempat duduk pula dihiasi dengan tona coklat berbeza, lengkap dengan logo bendera Itali.
Kemasan krom, rim aluminium 12 inci berwarna putih serta lencana ‘Vespa Pic Nic’ pada kompartment depan melengkapkan gaya santai yang diketengahkan oleh Primavera Pic Nic. Terdapat tiga pilihan warna menarik iaitu white Innocenza, Green Relax dan Grey Materia.
Untuk penampilan yang lebih unik, pelanggan boleh mendapatkan aksesori tambahan seperti alas piknik, serta bakul rotan dengan kemasan kulit yang mudah dipasang pada rak belakang (dengan kit pemasangan). Turut ditawarkan adalah beg penyejuk, tumbler eksklusif, topi fedora dan beg tote yang boleh didapati dalam warna putih dan kelabu.
Seperti versi standard, Primavera Pic Nic dikuasakan oleh enjin i-GET satu silinder bersesaran 150 cc dengan penyejukan udara yang menghasilkan 9.5 kW pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm pada 6,500 rpm. Enjin ini turut mempunyai teknologi suntikan elektronik dan injap tiga hala.
Ditawarkan dalam jumlah yang terhad, Vespa Primavera Pic Nic dijual pada harga RM19,900.
No Comment