Berita Auto

BMW X3 sDrive20i Masuk Pasaran Malaysia – RM287k

Selain memperkenalkan 330Li M Sport, BMW Malaysia turut sempat melancarkan varian entry-level bagi model BMW X3 iaitu X3 sDrive20i. Dipasang secara tempatan, ia dijual pada harga RM 286,674 (harga atas jalan, tanpa insurans) dengan waranti lanjutan, pakej servis, dan pengecualian SST.

Dari segi penampilan, X3 sDrive20i didatangkan dengan pakej xLine yang merangkumi kemasan aluminium, BMW Individual Exterior Line dan kemasan Aluminium Satinated pada rel bumbung. Ia juga mempunyai lampu hadapan LED yang meliputi lampu membelok serta rim 19 inci dalam penggayaan Y-Spoke 694 dengan tayar ‘runflat’.

Ruang dalaman pula dihiasi dengan trim rona hitam berglos tinggi, serta kemasan Pearl Chrome. Aspek keselesaan merangkumi hamparan lantai velor, pencahayaan ambien, sistem penyaman udara automatik tiga zon, ciri pelarasan elektrik pada tempat duduk, sistem HiFi dengan 12 pembesar suara dan cermin dengan fungsi anti silau automatik.

Turut disertakan adalah sistem infohibur yang terdiri daripada paparan sentuh 10.25 inci yang ditawarkan bersama BMW Live Cockpit Plus serta BMW Intelligent Personal Assistant.

Kuasa dibekalkan oleh enjin petrol TwinPower Turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 184 hp dari 5,000 – 6,500 rpm, dan 300 Nm dari 1,350 – 4,000 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan yang ditugaskan untuk memacu roda belakang. Dari segi prestasi, X3 sDrive20i mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 215 km/j.

Penawaran warna bagi model ini merangkumi Alpine White, Glacier Silver, Black Sapphire, dan Phytonic Blue. Kesemua warna tersebut dipadankan dengan upholsteri Leather Vernasa berwarna hitam berserta dengan sulaman hitam.

X3 sDrive20i boleh didapati di semua bilik pameran BMW di Semenanjung Malaysia dan akan tiba di Sabah dan Sarawak pada 20 April 2020. Pelanggan juga boleh membuat pra-tempahan dengan bayaran RM 1,000 melalui platform BMW Shop Online di https://shop.bmw.com.my/.

Previous post

BMW 330Li M Sport Tiba Di Malaysia - RM300,800

Next post

Porsche 911 Turbo S (992) Dilancarkan - RM2.2 Juta

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *