Maserati Levante Hybrid Hadir Dengan 330 HP
Umum mengetahui bahawa trenkuasa yang dielektrifikasi semakin popular di kalangan pengeluar. Tidak mahu ketinggalan dalam trend yang menguntungkan itu, Maserati telah memperkenalkan Levante Hybrid baharu di acara Auto Shanghai 2021.
Mengikuti jejak langkah Ghibli Hybrid yang diperkenalkan pada tahun lalu, Levante Hybrid menampilkan enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang dipadankan dengan sistem ‘mild hybrid’ 48 volt. Walaupun terdapat bateri yang diletakkan pada bahagian belakang untuk keseimbangan casis, ia tidak menjejaskan kapasiti ruang but.
Walaupun dengan kehadiran bateri tersebut, Maserati berkata bahawa SUV itu lebih lincah dan seronok dipandu berbanding versi petrol dan diesel yang mempunyai enjin enam silinder kerana ia lebih ringan.
Gabungan enjin dan sistem mild hybrid tersebut menjana kuasa maksimum 330 hp dan 450 Nm dari 2,250 rpm. Tidak seperti Ghibli Hybrid yang merupakan sedan pacuan roda belakang, Levante Hybrid dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam enam saat. Sementara itu, kelajuan maksimumnya adalah 240 km/j.
Penampilan Levante Hybrid boleh dibezakan menerusi aksen biru yang terdapat pada saluran udara sisi, angkup brek serta logo Trident pada tiang C. Warna biru yang sama turut digunakan untuk sulaman tempat duduk. Ia menampilkan warna metalik Azzurro Astro yang ditawarkan secara pilihan menerusi program kustom Maserati Fuoriserie.
No Comment