Yamaha YZF-R7 Diperkenalkan Secara Rasmi
Segmen supersport yang tampak malap beberapa tahun yang lalu kini semakin meriah dengan kehadiran pesaing terbaharu iaitu Yamaha R7. Tiba sebagai pengganti R6 yang dihentikan pengeluarannya pada penghujung tahun lalu, R7 akan bersaing dengan Honda CBR600RR dan Aprilia RS660.
Dari segi reka bentuk, Yamaha mengekalkan penggayaan agresif yang dibawakan oleh model terdahulu namun pada masa yang sama memberikan R7 ‘wajah’ yang tersendiri dengan lampu utama yang diposisikan di dalam lubang ambilan udara. Lampu LED tunggal itu diapit oleh sepasang lampu nyalaan siang LED.
Selain itu, penghadang anginnya lebih tinggi berbanding R6 manakala fairingnya telah direka semula dan kini mempunyai lubang udara yang bertindak untuk mengeluarkan udara panas dari radiator dengan lebih efisien.
Seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, R7 menampilkan enjin ‘crossplane’ CP2 yang sama seperti MT-07. Unit dua silinder selari bersesaran 689 cc itu menjana 73.4 PS pada 8,750 rpm dan 67 Nm pada 6,500 rpm. Ia dilengkapi dengan piston aluminium tempaan yang dikatakan lebih ringan serta tahan lasak pada suhu operasi yang tinggi.
Casis yang digunakan juga sama dengan model ‘naked’ itu, namun sudut ‘rake’ dan ‘trail’, serta ukuran tapak rodanya telah dioptimumkan khas untuk kawalan yang lebih mantap. Ia dipadankan dengan fork terbalik Kayaba 41 mm dan penyerap hentak tunggal Monocross dengan pramuatan spring boleh laras dan peredam lantunan.
Sementara itu, sistem brek pula terdiri daripada gabungan ‘master cylinder’ Brembo dan angkup empat piston yang mengapit cakera berkembar berukuran 298 mm pada bahagian hadapan.
R7 akan memasuki pasaran Amerika Syarikat bermula pertengahan tahun ini pada harga $8,999 (RM37,134). Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Team Yamaha Blue dan Performance Black.
No Comment