Lamborghini Huracan Super Trofeo EVO2 Mula Berlumba Pada 2022
Siri perlumbaan ‘one-make’ Lamborghini Super Trofeo akan menyaksikan kehadiran jentera lumba baharu iaitu Huracan Super Trofeo EVO2 bermula musim tahun hadapan. Ia akan menggantikan Huracan Super Trofeo EVO yang dilancarkan pada 2018.
Menurut Lamborghini, kereta lumba terbaru itu merupakan versi yang paling berprestasi tinggi yang akan digunakan dalam siri perlumbaan tersebut. Ini kerana banyak modifikasi dan penambahbaikan yang telah dilakukan untuk meningkatkan prestasinya terutamanya dalam aspek aerodinamik. Apa yang lebih menarik, elemen penggayaannya adalah bayangan kepada model jalanan yang akan datang.
Bermula dengan bahagian hadapan, lip spoiler (atau Omega lip) yang menonjol yang bergabung dengan sirip-sirip gentian karbon memberikan EVO2 ‘wajah’ yang diilhamkan oleh Huracan STO. Tirai udara baharu mengoptimumkan aliran udara, begitu juga dengan sayap gentian karbon yang besar serta sirip diffuser yang direka semula.
Selain menala semula ciri aerodinamik, Lamborghini juga telah menggantikan panel plastik pada bahagian sisi dan belakang dengan panel gentian karbon bagi mengurangkan berat keseluruhan jentara ini. Dapra belakang serta spoiler sisi kini diperbuat daripada elemen tunggal bagi menghasilkan permukaan yang lebih licin.
Di samping itu, saiz cakera brek hadapan turut dipertingkatkan dari 380 mm kepada 390 mm, manakala angkup direka semula dengan luas permukaan yang lebih besar. Enjin aspirasi natural 5.2-liter V10 yang terletak pada bahagian belakang menghasilkan 620 hp, manakala transmisi berjujukan enam kelajuan X-Trac menyalurkan kuasa tersebut ke roda belakang.
Bakal membuat kemunculan sulungnya minggu ini di pusingan kedua Lamborghini Super Trofoe Europe di Le Castellet, Huracan Super Trofeo EVO2 boleh dibeli pada harga bermula dari €250,000 (RM1.26 juta).
No Comment