MINI Electric Baharu Masuk Pasaran Malaysia
Seperti model 3 Door, 5 Door dan Convertible yang dilancarkan hari ini, MINI Electric versi yang diperbaharui ini turut menampilkan rekaan yang lebih segar. Ia dijual pada harga RM217,470.73 selepas pengecualian cukai jualan. Harga tersebut adalah termasuk waranti tanpa had perbatuan bertempoh empat tahun, waranti bateri untuk lapan tahun/100,000 km dan servis berjadual percuma.
Model ini menampilkan bampar hadapan baharu di mana lampu kabus digantikan dengan tirai udara, manakala logo S berwarna kuning mengambil tempat logo E yang digunakan sebelum ini. Lampu hadapan LED Adaptif dengan fungsi Matriks kini ditawarkan dengan perumah berwarna hitam glos manakala pada bahagian sisi pula terdapat indikator LED serta sisipan khas ‘Electric’.
Di belakang, pintu but yang sebelum ini berwarna Vigorous Grey digantikan dengan warna hitam, manakala bampar belakang mengekalkan gubahan yang asal. Hatchback ini kekal dengan set roda 17 inci MINI Electric Power Spoke dalam warna dwitona serta tayar ‘run flat’.
Motor elektrik yang terletak pada gandar hadapan mampu menjana 135 kw (184 hp) dan 270 Nm. Kuasa pula dibekalkan oleh bateri dengan kapasiti berjumlah 28.9 kWj. Dari segi prestasi, model ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.3 saat dan mencapai kelajuan maksimum 150 km/j. Dengan tahap penggunaan tenaga 17.6 –15.2 kWj bagi setiap 100 km perjalanan, ia mampu dipandu sejauh kira-kira 232 km dengan satu cas penuh.
Ketika mengecas di stesen pengecasan DC, MINI Electric memerlukan kira-kira 36 minit untuk dicas dari kapasiti bateri sifar sehingga 80%. MINI Wallbox Plus menawarkan pengecasan sehingga 80% dalam tempoh dua jam setengah, sama seperti di stesen pengecasan AC awam. Progres pengecasannya boleh dilihat dari bahagian dalam komponen penutup titik pengecasan, di kluster instrumen digital atau melalui MINI App.
Seperti sebelum ini, ia dilengkapi dengan sistem Bantuan Memandu (Driving Assistant) sebagai standard. Turut disertakan adalah Bantuan Parkir (Park Assistant), Kawalan Jarak Parkir (Park Distance Control) hadapan dan belakang, serta Kawalan Luncur (Cruise Control).
Sistem infohibur pula merangkumi skrin 8.8 inci dengan MINI Connected dan Apple CarPlay, serta sistem audio 360 watt Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.
Tawaran warna eksklusif untuk MINI Electric meliputi White Silver dengan bumbung hitam dan aksen Energetic Yellow; British Racing Green dengan bumbung hitam dan cermin sisi hitam; serta Midnight Black dengan bumbung putih dan aksen Energetic Yellow.
No Comment