Audi RS3 (2022) Bakal Hadir Dengan Enjin 400 PS Dan RS Torque Splitter
Walaupun Audi sedang rancak melaksanakan pelan elektrifikasi mereka, dua model RS terkecilnya iaitu RS3 Sportback dan RS3 Sedan generasi baharu sah akan kekal dengan enjin pembakaran dalam lima silinder dengan pengecas turbo. Selain itu, kedua-duanya juga mempunyai beberapa ciri baharu yang menjadikannya lebih lincah dan dinamik berbanding sebelum ini.
Bersesaran 2.5 liter, enjin tersebut menghasilkan 400 PS seperti sebelum ini namun ia tiba lebih awal iaitu pada 5,600 rpm hingga ke redline 7,000 rpm. Jumlah tork meningkat sebanyak 20 Nm kepada 500 Nm dari 2,250 hingga 5,600 rpm.
Transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan ditugaskan untuk menyalurkan kuasa dan tork yang dihasilkan ke keempat-empat roda. Dengan adanya Launch Control, Audi mendakwa RS3 mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat, 0.3 saat lebih pantas berbanding RS3 generasi terdahulu dan 0.1 saat lebih pantas berbanding pencabar terdekatnya iaitu Mercedes-AMG A45 S 4Matic+.
RS3 menjadi model pertama dalam barisan Audi Sport RS yang mempunyai pem atau RS Torque Splitter. Dibekalkan oleh Magna, sistem tersebut mempunyai dua klac yang dikawal secara elektronik, satu pada setiap aci pemacu (driveshaft) belakang. Ini membolehkan ia membahagikan penyaluran tork antara tayar belakang kiri dan kanan bagi mengurangkan ‘understeer’, sekaligus memberikannya pengendalian yang lebih mantap.
Sistem ini juga membolehkan pemandu RS3 melakukan ‘drift’ secara terkawal dengan mengaktifkan mod RS Torque Rear. Dalam mod ini, 100 peratus tork yang terhasil akan disalurkan ke salah satu tayar belakang dan ini akan menyebabkan bahagian belakang kereta menggelungsur ke tepi. Turut disertakan adalah mod RS Performance yang ditala khas untuk mendapatkan catatan masa terpantas di litar lumba.
Selain dua mod ini, RS3 turut mempunyai mod Comfort, Auto, Efficiency, Dynamic dan RS Individual. Seperti biasa, setiap mod menawarkan talaan stereng, respon pendikit dan sistem suspensi yang tersendiri untuk situasi pemanduan yang berbeza.
Bercakap tentang suspensi, RS3 didatangkan standard dengan sistem suspensi pasif yang terdiri daripada topang MacPherson pada bahagian dan multi-link pada bahagian belakang. Ia telah ditala semula oleh Audi dan kini 10 mm lebih rendah. Sudah tentu, pelanggan juga boleh memilih peredam adaptif yang ditawarkan sebagai pilihan.
No Comment