Audi RS3 Sportback Dan Sedan 2022 Diperkenalkan Secara Rasmi
Barisan Audi A3 generasi keempat kini lengkap dengan kehadiran model paling berkuasa iaitu RS3. Seperti model Quattro yang bertanggungjawab menaikkan nama Audi ketika era 80an, RS3 baharu tampil dengan formula yang menggabungkan enjin turbo lima silinder sebaris dan sistem pacuan semua roda.
Lebih pantas daripada sebelum ini
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, enjin TFSI 2.5-liter itu menyalurkan 400 PS dan 500 Nm ke kedua-dua gandar menerusi transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Ini cukup untuk membolehkan RS3 Sedan dan Sportback memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat, 0.3 saat lebih pantas berbanding model generasi terdahulu.
Kelajuan maksimum dihadkan secara elektronik pada 250 km/j namun ia boleh ditingkatkan sehingga 280 km/j. Jika ini masih tidak mencukupi, pelanggan boleh mendapatkan pakej RS Dynamic yang membolehkan ia memecut sehingga 290 km/j. Pakej tersebut turut merangkumi sistem brek seramik.
Selain itu, urutan pembakaran (firing order) 1-2-4-5-3 serta flap aktif di dalam sistem ekzos memberikan RS3 bunyi yang menarik, dengan karakter yang berbeza mengikut mod pemanduan yang dipilih. Untuk bunyi yang lebih berkuasa, Audi menawarkan pilihan sistem ekzos sport RS.
Casis yang dipertingkatkan
Menggantikan ‘differential’ belakang yang digunakan sebelum ini adalah RS Torque Splitter, yang ditugaskan untuk mengurangkan efek ‘understeer’ dengan menyalurkan sehingga 100 peratus tork ke tayar yang berada di sebelah luar selekoh.
Bukan itu sahaja, RS3 kini boleh melakukan aksi drift walaupun mempunyai sistem pacuan semua roda. Ini kerana ia didatangkan dengan ciri RS Torque Rear yang ditugaskan untuk menyalurkan sebanyak mungkin kuasa ke roda belakang.
Turut disertakan adalah RS Performance Mode yang menawarkan kalibrasi enjin dan transmisi khusus untuk pemanduan di litar lumba. Ia merupakan penambahan kepada mod-mod pemanduan sedia ada iaitu Comfort, Auto, Dynamic, Efficiency dan RS Individual.
Reka bentuk agresif
Seperti model-model RS yang lain, RS3 tampil lebih menonjol dengan kit badan yang merangkumi bampar hadapan dengan lubang ambilan udara yang lebih besar dan diffuser dengan muncung ekzos berkembar pada bampar belakang. Ia didatangkan standard dengan lampu LED yang boleh dinaik taraf kepada unit Matrix LED, serta rim berukuran 19 inci.
Masuk ke bahagian dalam, anda akan menemui kokpit maya atau ‘virtual cockpit’ berukuran 12.3 inci yang memaparkan rpm dalam bentuk graf bar. Selain itu, terdapat juga paparan infohibur 10.1 inci dan juga ‘head up display’.
Tema sporty pula disampaikan menerusi kemasan gentian karbon pada papan pemuka dan kerusi sport RS dengan cetakan logo ‘RS’ dan jahitan anthracite. Upholsteri kulit nappa dan jahitan sarang lebah dalam warna kontras ditawarkan sebagai opsyen.
No Comment