Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Isuzu Malaysia Janjikan Pengalaman Pelanggan Lebih Selamat

Pelanggan Isuzu Malaysia boleh menjangkakan pengalaman dan layanan yang lebih mesra serta selamat dalam era pandemik dan norma baru ketika ini, ketika negara sedang menuju kepada fasa pemulihan secara berperingkat seperti yang disaksikan sekarang.

Ketua Pegawai Operasi baru bagi Bahagian Kenderaan Perdagangan Ringan Isuzu Malaysia, Kenkichi Sogo menekankan bahawa sambutan yang diterima oleh Isuzu D-Max baharu menyaksikan peningkatan mendadak dalam tempahannya sejak tiga bulan lalu, sekaligus membolehkan Isuzu berada di kedudukan kedua dalam carta jualan walaupun dalam keadaan kawalan pergerakan yang dikenakan.

“Pelancaran Isuzu D-Max terbaru dalam waktu pandemik telah memaksakan perubahan terhadap cara kami membawakan model baru kepada pelanggan berpotensi ketika ini. Dalam usaha untuk menyesuaikan cara kerja dengan keadaan baharu ini, kami perlu sentiasa bersedia untuk beradaptasi terhadap situasi dan mencari jalan baharu untuk memenuhi keperluan dan permintaan pelanggan,” ujar Sogo.

Isuzu D-Max

Antara langkah yang telah diambil oleh Isuzu Malaysia adalah membangunkan pameran realiti terimbuh 360-darjah yang menawarkan perincian mendalam terhadap rekaan dan kelengkapan D-Max. Hampir semua alat bantu pembelian seperti pengira pinjaman hinggalah kepada kos penyelenggaraan tersedia secara interaktif dalam laman web pickuptruck.isuzu.net.my. Ini membolehkan pengunjung membuat pilihan sebelum membuat janji temu dalam talian.

Prosedur bagi servis dan penyelenggaraan juga telah diperbaharui bertujuan untuk meminimumkan tempoh menunggu serta memastikan aliran yang lebih lancar. Pelanggan digalakkan untuk membuat temujanji servis lebih awal bersama pengedar mereka untuk mendapatkan slot yang diinginkan.

Dengan 500 jumlah tempahan sebulan bagi D-Max sejak pelancarannya walaupun telah melalui beberapa fasa perintah kawalan pergerakan (PKP), tugas untuk menyerahkan semua unit berkenaan secara selamat kepada pemilik adalah lebih penting ketika ini.

Isuzu D-Max

“Kami berharap semua pelanggan kekal bersabar serta mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan bagi memastikan keselamatan dan menjamin pengalaman yang lebih menyenangkan untuk semua,” tambah Sogo. Beliau menggantikan Masayuki Suzuki yang kembali ke Jepun untuk menyandang jawatan baharu di sana.

Kenkichi Sogo, 43, tidak asing lagi di pasaran Malaysia. Beliau meluangkan masa empat tahun sebelum ini sebagai Pengurus Besar di Isuzu Malaysia yang bertanggungjawab memantau operasi Bahagian Kenderaan Perdagangan Ringan serta operasi alat ganti.

Merupakan lulusan dari Keio University, Sogo memulakan kerjayanya bersama Mitsubishi Corporation pada 2001 dan telah terlibat dengan perniagaan Isuzu sejak tujuh tahun lalu. Pelantikannya ke jawatan Ketua Pegawai Operasi akan memastikan pertumbuhan berterusan terhadap perniagaan Isuzu di Malaysia serta membangunkan pengalaman lepas jualan yang positif bagi semua pemilik kenderaan Isuzu.

Previous post

Ducati Scrambler Nightshift Dilancarkan Di Malaysia - RM65,900

Next post

Ford, Toyota Dan GM Melabur Dalam Trak Pikap Hidrogen

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *