BMW R nineT Versi Baharu Terjah Pasaran Malaysia
Selain M 1000 RR dan S 1000 R, BMW Motorrad Malaysia turut sempat melancarkan barisan jentera roadster R nineT yang telah diperbaharui dengan kelengkapan tambahan dan enjin lebih berkuasa. Ia terdiri daripada tiga varian iaitu R nineT, R nineT Pure dan R nineT Scrambler.
Reka bentuk R nineT yang klasik kini diperhebatkan lagi dengan lampu Headlight Pro yang didatangkan secara standard. Selain itu, versi Pure dan Scrambler mendapat paip ekzos bersadur krom, manakala versi asas mendapat gubahan ekzos dengan peredam bunyi.
Menyempurnakan penampilan klasik jentera-jentera ini ialah instrumen berbentuk bulat baharu dengan paparan meter laju analog serta lampu indikator terintegrasi yang “disembunyikan” bila ia tidak bercahaya. Turut disertakan adalah soket pengecasan USB.
Enjin boxer jentera tersebut telah melalui proses penjituan dari segi teknikal dan visual dan kini memenuhi piawaian kelas pencemaran EU-5 dan peraturan bunyi hingar. Ia menghasilkan 109 hp pada 7,250 rpm dan tork maksimum 116 Nm pada 6,000 rpm. Penampilannya dipertingkatkan menerusi gubahan baharu pada kepala silinder dan komponen injap pendikit.
Untuk sistem elektronik pula, ABS Pro, yang merangkumi Kawalan Brek Dinamik (Dynamic Brake Control) kini disediakan sebagai ciri standard. Ia membolehkan penunggang menikmati keupayaan kawalan dan keselamatan yang tinggi ketika membrek dalam posisi menyendeng.
Satu lagi ciri yang didatangkan secara standard ialah topang suspensi baharu yang kini mempunyai ciri redaman berasaskan tunggangan (travel-dependent damping) untuk keseimbangan dan keselesaan yang lebih baik ketika menunggang. Prabeban yang ditampung oleh spring pada topang suspensi juga boleh dilaras dengan mudah melalui tombol khas yang disediakan.
Ketiga-tiga versi R nineT dilengkapi dengan mod tunggangan Rain dan Road. Dalam mod Rain, respons pendikit digandingkan dengan Automatic Stability Control (ASC) yang sensitif untuk tahap keselamatan yang lebih tinggi ketika memecut di atas permukaan jalan yang licin. Dalam mod Road pula, respons pendikit diseimbangkan dan ASC akan ditetapkan untuk permukanan jalan yang kering.
Dari segi penawaran warna, R nineT hadir dengan Black Storm Metallic sebagai warna standard, dengan pilihan warna tambahan Option 719 Aluminium serta Option 719 Night Black Matte/Aluminium Matte. R nineT Pure pula disediakan dalam warna Teal Blue Metallic Matte dan Mineral Grey Metallic. Akhir sekali, R nineT Scrambler boleh didapati dalam warna Kalamata Metallic Matte.
Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans, dan dengan waranti dan program bantuan tepi jalan tiga tahun) adalah seperti berikut:
- R nineT (Black Storm): RM96,500
- R nineT Pure: RM82,500
- R nineT Scrambler: RM86,500
No Comment