Porsche Taycan Cross Turismo Tiba Di Malaysia – Harga Dari RM645k
Sime Darby Auto Performane (SDAP) nampaknya tidak menunggu lama untuk memperkembangkan barisan kenderaan elektrik Porsche di Malaysia. Selepas melancarkan Taycan pada September tahun lalu, syarikat itu kini memperkenalkan pula Taycan Cross Turismo.
Untuk pasaran Malaysia, model ini boleh didapati dalam tiga varian seperti berikut:
Taycan 4 Cross Turismo – harga dari RM645,209
- 380 PS
- 476 PS dengan Overboost untuk Launch Control
- 0-100 km/j dalam 5.1 saat
- Kelajuan maksimum 220 km/j
- Jarak pemanduan 437 km
Taycan 4S Cross Turismo – harga dari RM728,727
- 490 PS
- 571 PS dengan Overboost untuk Launch Control
- 0-100 km/j dalam 4.1 saat
- Kelajuan maksimum 240 km/j
- Jarak pemanduan 436 km
Taycan Turbo Cross Turismo – harga dari RM968,928
- 625 PS
- 680 PS dengan Overboost untuk Launch Control
- 0-100 km/j dalam 3.3 saat
- Kelajuan maksimum 250 km/j
- Jarak pemanduan 425 km/j
Secara asasnya, Taycan Cross Turismo adalah Taycan dengan bentuk badan wagon lima pintu. Jika dibandingkan dengan sedan itu, ruang lega kepala penumpang belakang di dalam Taycan Cross Turismo adalah 47 mm lebih luas, manakala kapasiti ruang butnya boleh mencecah 1,200 liter jika tempat duduk belakang dilipat.
Ia menggunakan teknologi 800 volt yang sama dengan Taycan, dipadankan dengan pek bateri Performance Battery Plus 93.4 kWh yang didatangkan secara standard.
Selain itu, Taycan Cross Turismo juga dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda dan sistem suspensi udara adaptif yang memberikan jarak lega tanah yang lebih tinggi sebanyak 20 mm jika dibandingkan dengan Taycan. Dengan pakej Offroad Design yang ditawarkan sebagai opsyen, jarak berkenaan ditingkatkan kepada 30 mm untuk pemanduan off-road. Satu lagi ciri eksklusif yang terdapat pada model ini adalah mod pemanduan Gravel.
Dari segi reka bentuk, ia menampilkan beberapa elemen reka bentuk off-road seperti trim di sekeliling gerbang roda, apron hadapan dan belakang yang unik serta skirt sisi. Pelanggan yang memilih pakej Offroad Design juga akan mendapat flap pada sudut bampar hadapan dan belakang, serta di hujung skirt sisi. Komponen ini melindungi badan daripada batu-batu kecil.
Menurtu SDAP, Taycan Cross Turismo boleh dilihat dengan lebih dekat di bilik pameran Porsche Centre di seluruh negara dalam masa beberapa minggu akan datang. Mereka yang berminat boleh membuat tempahan untuk sesi melihat menerusi pautan ini: https://bit.ly/TaycanCrossTurismo_MY.
No Comment