Land Rover Defender Akhirnya Masuk Pasaran Malaysia
Seperti yang dijanjikan, Jaguar Land Rover Malaysia hari ini secara rasminya melancarkan Land Rover Defender serba baharu. Untuk pasaran Malaysia buat masa ini, SUV off-road didatangkan dalam versi 110 (lima pintu) dengan konfigurasi lima atau tujuh tempat duduk dan dua pilihan varian petrol iaitu P300 dan P400.
Varian P300 menampilkan enjin Ingenium 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 300 PS pada 5,500 rpm dan 400 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 191 km/j.
Sementara itu, varian P400 pula mempunyai enjin Ingenium 3.0-liter enam silinder sebaris yang digandingkan dengan sistem hibrid ringkas (mild hybrid), sekaligus menghasilkan 400 PS pada 5,500 rpm dan 550 Nm dari 2,000 hingga 5,000 rpm. Kelajuan maksimumnya sama, cuma masa pecutan 0-100 km/j lebih singkat iaitu 6.1 saat.
Defender dibina berasaskan platform D7x yang mempunyai struktur monocoque aluminium ringan. Reka bentuknya yang kukuh membolehkan jentera ini menunda bebanan seberat 3,500 kg, dengan beban maksimum bumbung statik mencecah 300 kg.
Selain itu, rekaannya juga memberikan jarak kelegaan bumi setinggi 291 mm dan sudut breakover 28 darjah. Kebolehan untuk meranduk air sedalam 900 m diperkuatkan lagi dengan kehadiran program Wade baharu yang terdapat dalam sistem Terrain Response.
Ciri Adaptive Dynamic memantau pergerakan badan Defender sehingga 500 kali sesaat dan bertindak balas hampir serta merta, manakala sistem suspensi udara elektronik pula meningkatkan ketinggian badan sehingga 145 mm untuk pemanduan off-road. Sistem Elegant Arrival pula akan menurunkan badan sehingga 40 mm untuk memudahkan pergerakan keluar masuk.
Kamera Keliling 3D dengan perspektif tiga dimensi dan pandangan atas 360 darjah menjadikan pemanduan lebih mudah, ditambah pula dengan ciri ClearSight Ground View dan cermin pandang belakang ClearSight yang membolehkan pemandu mendapatkan sudut pandangan bahagian bawah dan belakang kenderaan dengan jelas.
Untuk sistem infohibur pula, Defender didatangkan dengan sistem Pivi Pro yang dipadankan dengan pembesar suara Meridian. Ciri-ciri kemudahan lain yang disertakan termasuklah Head-Up Display dan sistem unit integrasi Click and Go yang menggabungkan aksesori tambahan untuk penumpang menyimpan beg, komputer riba atau jaket.
Harga jualan Defender bermula dari RM798,800 untuk varian P300 dan RM998,000 untuk varian P400. Harga yang dinyatakan adalah selepas pengecualian cukai jualan 50 peratus, tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans. Setiap pembelian didatangkan dengan jam tangan Land Rover Heritage bernilai RM2,288.
No Comment