Toyota Hilux, Fortuner Dan Innova Baharu Dibuka Untuk Tempahan
UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan ia mula mengambil tempahan model kemaskini terbaru bagi Toyota Hilux, Fortuner dan Innova. Tempahan boleh dibuat di semua bilik pameran rasmi Toyota dan juga melalui Toyota Online Showroom.
Ketiga-tiga model berkenaan, yang merupakan sebahagian daripada barisan kenderaan IMV (Innovative International Multi-Purpose Vehicle), telah diberikan kemaskini dan penambahbaikan dari aspek keselesaan dan kelengkapan.
Hilux
Trak pikap paling laris di Malaysia ini didatangkan dalam lima varian, dengan dua pilihan enjin turbodiesel empat-silinder, 2.4 liter dan 2.8 liter. Kedua-dua enjin ditala untuk kecekapan bahan api yang masih boleh dipertingkatkan dengan penggunaan mod ECO.
Varian kabin berkembar yang ada — Hilux Rogue 2.8, 2.4 V dan 2.4 E — menggunakan transmisi automatik enam kelajuan dan sistem 4×4. Varian lain — Hilux Double Cab 2.4 G dan Single Cab 2.4 — pula dilengkapi dengan transmisi manual enam-kelajuan dan juga dengan sistem 4×4.
Untuk perjalanan yang lebih selesa, sistem pendingin hawa bahagian hadapan di dalam Hilux 2.8 Rogue dan 2.4 V telah dipertingkatkan menjadi jenis dua zon berbanding zon tunggal sebelum ini. Dengan ciri terbabit, pemandu dan penumpang depan boleh menentukan suhu secara berasingan.
Fortuner
SUV saiz sederhana ini hadir dalam tiga varian — Fortuner 2.8 VRZ, Fortuner 2.7 SRZ dan Fortuner 2.4. Oleh kerana permintaan pasaran yang tinggi, Fortuner 2.4 kini ditawarkan di seluruh Malaysia.
Bagi versi terkini, pendingin hawa depan Fortuner 2.8 VRZ dan 2.7 SRZ kini juga dijadikan dua zon untuk membolehkan larasan suhu berasingan antara pemandu dan penumpang depan. Pad pengecas tanpa wayar untuk telefon yang serasi juga kini standard untuk semua varian. Slot USB belakang pada Fortuner 2.8 VRZ juga telah ditukar kepada jenis Type C.
Sistem janaan kuasa yang sama dan telah terbukti prestasinya digandingkan bersama transmisi automatik enam kelajuan dan juga sistem 4×4. Enjin petrol 2.7 liter juga kini ditala untuk menepati standard kawalan emisi yang lebih ketat, dinaiktaraf ke standard Euro4 dari Euro2.
Innova
Kini dalam generasinya yang kedua, MPV dengan kepelbagaian penggunaan ini ditawarkan dalam tiga varian — Innova 2.0X, 2.0G dan 2.0E. Walaupun saiz kabin untuk semua varian ini sama, Innova 2.0X datang dengan kerusi kapten saiz besar di tengah.
Bagi yang memiliki telefon pintar yang serasi, pad pengecasan tanpa wayar kini ada untuk semua varian. Beberapa slot USB juga disediakan dalam kabin, memudahkan lagi keperluan pengecasan peranti elektronik penumpang.
Enjin petrol 2.0 liter yang digunakan oleh ketiga-tiga varian ini juga telah dipertingkatkan untuk memenuhi piawaian Euro4.
Ketiga-tiga model ini didatangkan dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan bagi Fortuner dan Innova, dengan maksimum 150,000 km bagi Hilux.
No Comment