Proton Jual 13,362 Kereta Pada Oktober, Lepasi Angka Jualan 2020
Proton mengumumkan bahawa ia telah menjual sebanyak 13,362 unit kenderaan pada bulan Oktober 2021, menunjukkan peningkatan sebanyak 28.7 peratus berbanding bulan sebelumnya.
Dengan pencapaian ini, jualan terkumpul Proton setakat ini berada pada 86,379 unit, sekaligus bermakna pengeluar kereta nasional itu telah berjaya melepasi angka jualan bagi 10 bulan pertama tahun 2020 sebanyak 1.6 peratus iaitu 84,999 unit.
Syarikat itu juga berkata ia telah melangkaui prestas Jumlah Jualan Industri (TIV) bagi pasaran automotif tempatan, yang telah menurun sebanyak lebih kurang 4.7% walaupun dengan jualan melebihi 65,000 unit buat kali pertama pada bulan Oktober untuk tahun 2021.
Unjuran pegangan pasaran bagi bulan tersebut adalah sebanyak 20.5%, sementara pegangan pasaran bagi tempoh yang sama berbanding tahun lepas adalah sebanyak 22.7%.
Sebagaimana bulan-bulan dalam tahun 2021 sebelum ini, Saga terus menerajui pencapaian jualan bagi Proton dengan jualan sebanyak 5,107 unit pada bulan Oktober. Ini merupakan kali ketiga dalam tahun ini jualan model tersebut melepasi angka 5,000 unit.
Dua lagi peneraju jualan syarikat adalah X50 dan X70, masing-masing mencatat jualan sebanyak 3839 unit dan 2,165 unit pada bulan lalu. Exora pula terus mendahului pasaran MPV segmen C dengan 359 unit diserahkan kepada pelanggan.
Bagaimanapun, Iriz dan Persona terkesan teruk akibat kekurangan bekalan cip. Hanya 1,393 unit Persona dan 497 unit Iriz berjaya dijual pada bulan lalu.
Mengenai pengcualian cukai perkhidmatan dan jualan (SST) yang dilanjutkan kepada 30 Jun 2022, Proton menyifatkan sebagai satu khabar gembira kepada pemain industri dan juga pelanggan. Syarikat itu berkata pembeli tidak lagi perlu bimbang akan kehilangan insentif jika kenderaan mereka diserahkan pada tahun hadapan.
“Kami juga menjangkakan lanjutan tersebut akan meningkatkan jualan separuh tahun pertama tahun depan di mana kemungkinan banyak model akan diperkenalkan di pasaran,” tambah Roslan Abdullah.
No Comment