Koenigsegg Tunjuk Teaser Model Baharu Untuk 2022
Pengeluar hypercar dari Sweden, Koenigsegg membuka tirai tahun 2022 dengan menyiarkan teaser untuk sebuah model baharu yang tidak diketahui namanya.
Teaser tersebut dimuat naik ke laman Facebook rasmi syarikat itu, berserta kapsyen “Dear 2022, here’s our New Year’s resolution – More ultimate performance through clever engineering and optimal design. Here we go!”
Gambar teaser tersebut menunjukkan sebuah hypercar dari bahagian sisi dengan bentuk bayang-bayang yang tidak jauh berbeza dengan model-model Koenigsegg yang sedia ada.
Tidak banyak maklumat yang boleh ‘dikorek’ daripada sekeping gambar yang gelap ini namun jika diperhatikan dengan lebih teliti, kereta ini dilihat mempunyai splitter hadapan yang hampir sama dengan model CCR keluaran 2004 manakala lampu belakangnya pula yang hampir sama dengan model CCX tahun 2006.
Ia tidak mempunyai spoiler seperti One:1 atau Regera, namun diffuser belakangnya dilihat agak menonjol seperti apa yang terdapat pada Agera.
Setakat ini, sukar untuk kami katakan apakah model yang diacah ini namun memandangkan tahun ini adalah ulang tahun yang ke-22 bagi supercar pertama Koenigsegg iaitu CC8S, ada kemungkinan model baharu ini dihasilkan khas bagi mengingati peristiwa bersejarah itu.
Apa-apa pun, kita tunggu maklumat selanjutnya dari Koenigsegg.
No Comment