Aston Martin DBX S Mungkin Hadir Dengan Enjin Twin-Turbo V12
Aston Martin telah menyiarkan teaser rasmi pertama untuk SUV terbaharunya yang dikenali sebagai DBX S. Menurut syarikat itu, model itu akan menjadi “SUV mewah paling berkuasa di dunia”.
Satu dakwaan yang berani namun boleh dianggap munasabah kerana DBX S dilaporkan akan tampil dengan enjin twin-turbo V12 milik Aston Martin yang mungkin menghasilkan sehingga 700 hp. Jika ini benar, SUV dari Gaydon ini akan mendahului pesaing terdekatnya iaitu Porsche Cayenne Turbo GT dan Lamborghini Urus dari segi kuasa.
Sebagai perbandingan, DBX sedia ada yang dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang dibangunkan oleh Mercedes-AMG mempunyai 550 hp, manakala versi hibrid ringkas 3.0-liter V6 yang dikhaskan untuk pasaran China mempunyai 435 hp.
Dari segi penampilan pula, imej teaser tersebut menunjukkan DBX S mempunyai beberapa elemen reka bentuk yang berbeza dengan versi standard. Ini termasuk splitter depan yang lebih menonjol, serta diffuser yang terkeluar daripada bampar belakang.
Selain itu, berdasarkan gambar-gambar intipan (spy shot) yang diperoleh sebelum ini, model itu juga mempunyai bukaan gril yang lebih besar dan empat muncung ekzos. Laporan turut mengatakan yang ia dilengkapi dengan sistem suspensi udara adaptif dengan talaan sporty.
No Comment