BMW X3 Facelift Tiba Di Malaysia Dalam 3 Varian
BMW Malaysia hari ini BMW X3 versi facelift yang boleh didapati dalam tiga varian baharu iaitu X3 sDrive20i M Sport, X3 xDrive30i M Sport dan X3 xDrive30e M Sport.
Dari segi penampilan, X3 menampilkan gril ‘kidney’ lebih besar, rekaan apron depan baharu dengan salur masuk udara menegak, bampar baharu serta lampu depan LED yang dilangsingkan sebanyak 10 mm. Versi hibrid plug-in iaitu xDrive30e M Sport mudah dicam dengan port pengecasan yang terletak di belakang roda kiri depan.
Selain itu, model ini tampil dengan rim aloi bersaiz sehingga 20 inci, lampu belakang dengan teknologi LED dan rekaan kontur tiga dimensi, serta paip ekzos yang lebih besar.
Ruang dalaman pula dioptimumkan untuk memuatkan skrin sentuh berukuran 10.25 inci, elemen bersadur zink dan elemen kawalan baharu pada konsol tengah. Varian xDrive30e mendapat aksen biru BMW i pada gelung yang melingkari logo BMW bagi menunjukkan pacuan hibrid plug-in model itu.
Dari segi kelengkapan, varian sDrive20i mendapat BMW Live Cockpit Plus dengan teknologi panel hitam, dail bulat analog dan paparan inci di kluster instrumen, manakala varian-varian lain didatangkan dengan BMW Live Cockpit Professional.
Kesemua varian dikuasakan oleh sistem operasi BMW 7, Pembantu Peribadi Pintar BMW dan pakej BMW Connected sebagai opsyen tambahan. Pengemaskinian Perisian Berjarak Jauh memastikan kenderaan mempunyai perisian yang paling terkini.
Kefungsian BMW Intelligent Personal Assistant juga telah diperluaskan lagi bagi membolehkan pengguna membuka tingkap dan menyesuaikan sistem penyaman udara menggunakan arahan suara. Turut dinaik taraf adalah sistem navigasi berasaskan awan iaitu Peta BMW.
Kedua-dua X3 sDrive20i dan xDrive30i dikuasakan oleh enjin petrol TwinPower Turbo empat silinder, namun dengan kuasa yang berbeza iaitu 184 PS dan 300 Nm bagi sDrive20i, dan 252 PS dan 350 Nm bagi xDrive30i. Dengan transmisi automatik Steptronic lapan kelajuan, varian sDrive20i boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.2 saat sebelum mencecah kelajuan 215 km/j.
Sementara itu, xDrive30i yang dilengkapi dengan transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive boleh mencapai kelajuan 100 km/j dalam 6.3 saat dan kelajuan maksimum 240 km/j.
X3 xDrive30e dikuasakan oleh enjin yang sama namun ia dibantu dengan sebuah motor elektrik berkuasa tinggi dan bateri berkapasiti 12 kWj. Gandingan ini memberikan output keseluruhan berjumlah 292 PS dan 420 Nm, dan kemampuan untuk beroperasi sejauh 50 km dalam mod elektrik.
Sistem bantuan memandu pula meliputi Pembantu Pemandu yang menyediakan fungsi Amaran Penukaran Laluan, Amaran Pengeluaran Laluan, dan Amaran Perlanggaran Hadapan dengan intervensi brek sebagai standard, di samping Bantuan Parkir yang termasuk Bantuan Mengundur.
Eksklusif bagi xDrive30e ialah Parking Assistant Plus dengan Bantuan Parkir dirumus untuk ruang parkir selari dan menegak, serta fungsi pengeluaran parkir automatik. Kawalan Jarak Parkir Aktif juga disediakan untuk jentera PHEV ini, berserta dengan bantuan parkir lateral.
Harga jualan (atas jalan, tanpa insurans) bagi X3 facelift dengan BMW Service and Repair Inclusive, sebelum pengecualian cukai jalan dan perkhidmatan adalah RM315,800 bagi sDrive20i, RM358,800 bagi xDrive30i M Sport dan RM356,800 bagi xDrive30e M Sport.
No Comment