Triumph Motorcycles Malaysia Akan Lancar 10 Model Baharu Dalam Q1 2022
Triumph Motorcycles Malaysia mengumumkan bahawa ia akan membawa masuk 10 model baharu dalam suku pertama tahun ini. Sebagai permulaan, syarikat itu melancarkan tiga model pertama iaitu Tiger Sport 660, Tiger 1200 serta Speed Triple 1200 RR.
Tiger Sport 660
Diperkenalkan di peringkat global pada Oktober lalu, Tiger Sport 660 merupakan motosikal pertama dalam kategorinya yang menampilkan enji tiga silinder. Bersesaran 660 cc dan patuh piawaian emisi Euro 5, enjin tersebut menghasilkan 81 PS pada 10,250 rpm dan 64 Nm pada 6,250 rpm. Kotak gear enam kelajuan dengan nisbah gear yang dioptimumkan ditugaskan untuk menyalurkan kuasa roda ke belakang.
Untuk casis pula, Tiger Sport 660 dilengkapi dengan bar hendal aluminium yang dipadankan dengan fork terbalik (USD) 41 mm keluaran Show. Di belakang, terdapat suspensi monoshock Showa dengan spring dwi-kadar yang boleh dikonfigurasikan untuk tunggangan solo atau dengan pembonceng. Model ini didatangkan dengan rim aluminium 17 inci yang dibalut tayar Michelin Road 5.
Tiger Sport 660 mempunyai mod tunggangan Rain dan Road, Traction Control dan juga klac Slip & Assist yang lebih mudah dioperasikan. Mod tunggangan tersebut boleh diakses menerusi paparan TFT, yang boleh disambungkan dengan sistem My Triumph.
Ia kini dibuka untuk tempahan, dengan harga bermula dari RM49,900.
Tiger 1200
Tiger 1200 secara asasnya adalah abang kepada Tiger Sport 660 yang lebih besar dan berkuasa. Untuk pasaran Malaysia, ia ditawarkan dalam versi GT Pro dan Rally Explorer. GT Pro sesuai untuk pengembaraan yang tertumpu pada jalan raya manakala Rally Explorer dibangunkan khas untuk pengembaraan di atas pelbagai jenis permukaan.
Tanpa mengira varian, Tiger 1200 dikuasakan oleh enjin 1,160 cc tiga silinder yang menghasilkan 150 PS pada 9,000 rpm dan 130 Nm pada 7,000 rpm, 9 PS lebih tinggi berbanding enjin sebelum ini. Aci engkol T-plane yang unik dengan urutan pembakaran yang tidak sekata memberikan prestasi pecutan yang lebih baik, serta menjadikan enjin lebih responsif.
Oleh kerana kedua-dua versi tersebut dibangunkan untuk tujuan berbeza, terdapat sedikit perbezaan dalam senarai kelengkapan. GT Pro didatangkan standard dengan rim berukuran 19 inci di depan dan 18 inci di belakang, serta tangki bahan api berkapasiti 20 liter. Rally Explorer pula mendapat rim 21 inci dan 18 inci, manakala tangki bahan apinya lebih besar iaitu 30 liter.
Tiger 1200 GT Pro dijual pada harga RM115,900, manakala harga Rally Explorer pula adalah dari RM130,900 hingga RM131,900, bergantung kepada warna yang dipilih.
Speed Triple 1200 RR
Yang paling menarik antara ketiga-tiga model yang dilancarkan, Speed Triple 1200 RR merupakan sebuah cafe racer moden yang sedia untuk menarik perhatian dengan rekaan fairing yang memikat, lampu bulat signatur RR serta kemasan gentian karbon pada tangki minyak, fairing dan kokpit.
Memacu Speed Triple 1200 RR adalah enjin 1,160 cc tiga silinder dan transmisi enam kelajuan yang kompak dan ringan. Trenkuasa ini menjana 180 PS pada 10,750 rpm dan 125 Nm pada 9,000 rpm namun apa yang lebih penting, lekuk tork lancar dan kuat sepanjang julat rev.
Motosikal ini dibangunkan menggunakan kerangka aluminium tempaan yang menawarkan ergonomik tunggangan yang lebih baik menerusi bar handle jenis clip-on, posisi tempat meletak kaki yang diubah suai dan pelana yang diletakkan pada ketinggian 830 mm. Ini dipadankan dengan sistem suspensi semi-aktif Ohlins Smart EC 2.0 yang boleh dilaraskan secara elektronik.
Untuk sistem elektronik pula, terdapat Cornering ABS dan Cornering Traction Control. Turut disertakan adalah Front Wheel Lift Detection yang disambungkan dengan Cornering Traction Control. Penunggang boleh memilih daripada lima mod yang disediakan iaitu Road, Rain, Sport, Rider dan Track. Mod-mod ini boleh diakses menerusi panel instrumen TFT lima inci.
Speed Triple 1200 RR boleh menjadi milik anda pada harga bermula dari RM119,900.
No Comment