Kini Anda Boleh Tambah Nilai Kad TNG Dengan Telefon Pintar
Kumpulan Touch ‘n Go (TNG) hari ini melancarkan kad Touch ‘n Go yang dinaik taraf bagi membolehkan pengguna menambah nilai dari aplikasi Touch ‘n Go eWallet dengan menggunakan peranti Near Field Communication (NFC) yang terdapat pada telefon pintar.
Boleh dibeli pada harga RM10 menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet serta di lokasi runcit terpilih di seluruh negara, kad baharu itu didatangkan dalam warna merah jambu dan biru pastel untuk penampilan lebih segar. Penampilan bukanlah satu-satunya tumpuan pada kad baharu ini kerana ia juga mempunyai tahap enkripsi lebih tinggi untuk memastikan keselamatannya.
Untuk mengaktifkan kad dan memautnya pada aplikasi Touch ‘n Go eWallet, pengguna hanya perlu memegang kad berkenaan di belakang telefon pintar dengan NFC selama lima saat. Selepas itu, mereka boleh melihat baki kad dan menambah nilai dengan menggunakan cara yang sama. Setiap pengguna boleh memaut sehingga lima kad Touch ‘n Go ke aplikasi Touch ‘n Go eWallet mereka.
Dari segi kebolehgunaan, kad yang dinaik taraf ini sama sahaja dengan kad Touch ‘n Go yang sedia ada, di mana ia boleh digunakan untuk membuat pembayaran tanpa tunai di lebuh raya bertol, perkhidmatan pengangkutan awam dan juga lebih 700 tapak letak kereta di Semenanjung Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Effendy Shahul Hamid berkata pihaknya berbesar hati dapat memperkenalkan kad baharu ini yang dapat mengatasi masalah pengguna untuk menambah nilai.
Beliau juga menjangkakan yang permintaan untuk kad ini sangat tinggi dan dengan isu kekurangan cip di peringkat global, stok mungkin kehabisan dalam masa terdekat. Sekiranya ini berlaku, pengguna dinasihatkan untuk mendaftarkan minat mereka pada aplikasi Touch ‘n Go eWallet dan mereka akan dimaklumkan sekiranya kad ini tersedia untuk pembelian.
No Comment