Berita Auto

Ford Ranger Baharu Trak Pikap Paling Berkemampuan, Berkuasa dan Pintar di Malaysia

Ford Motor Company dan pengedarnya, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) hari ini melancarkan Ranger baharu yang lebih lasak, pintar dan efisien di Malaysia. Trak pikap itu akan berada di semua bilik pameran Ford di seluruh negara mulai esok.

Ranger baharu telah menetapkan satu penanda aras baharu dalam segmen trak pikap dengan gabungan kemampuan, keselamatan dan teknologi termaju yang tiada tandingannya.

“Berpegang kepada warisan ‘Built Ford Tough’ kami, Ranger baharu menawarkan lebih kuasa dan kemampuan mengangkut beban berbanding mana-mana trak pikap di Malaysia. Ia juga merupakan satu-satunya trak pikap yang menampilkan pelbagai teknologi pintar dan keselamatan baharu. Selain meningkatkan aspek kehalusan buatan dalam segmen ini,” kata Pengarah Urusan Malaysia dan Pasaran Membangun Asia Pasifik Ford Motor Company, David Westerman.

Rangkaian teknologi baharu Ranger disempurnakan lagi dengan bahagian luarannya yang bergaya, berfungsi dan pintar. Di samping kemampuan mengharung air, menunda dan mengangkut beban yang terbaik dalam kelasnya.

Di bawah hudnya, penambahbaikan sigifikan yang dilakukan ke atas enjin diesel Duratorq lima silinder 3.2 liter generasi terbaharu Ford dan enjin diesel TDCi Duratorq empat silinder 2.2 liter membantu Ranger baharu menawarkan penjimatan bahan api sehingga 12 peratus.

“Kami tahu bahawa para pemandu di Malaysia mahukan aspek kelasakan sebuah trak dan keselesaan kenderaan penumpang. Justeru, kami yakin Ranger baharu mampu menawarkan versatiliti ini serta membantu mereka mencapai lebih lagi sama ada di tempat kerja mahupun ketika bersama keluarga masing-masing,” kata Pengarah Urusan Sime Darby Auto Connexion, Syed Ahmad Muzri Syed Faiz.

Kemampuan dan kehalusan buatan

Dengan kemampuan mengharung air sehingga kedalaman 800mm dan jarak kelegaan tanah 230mm yang mendahului kelasnya, Ranger baharu ialah sebuah trak pikap yang paling lasak di Malaysia. Terima kasih kepada sudut mendekat 28 darjah dan sudut pelepasan 25 darjah, pemandu Ranger baharu direka dan dibina untuk menempuh apa jua laluan paling ekstrem dengan mudah.

Transfer case kukuh yang dikawal secara elektronik membolehkan pemandu Ranger varian 4×4 menukar daripada pacuan 4×2 kepada 4×4 ketika kenderaan masih bergerak dengan hanya memutar satu tombol pada konsol tengah. Untuk mendapatkan kuasa tork pada kelajuan rendah atau brek tambahan ketika menuruni bukit, pemandu boleh menggunakan gear 4×4 jarak pendek. Manakala ciri differential lock elektronik pada roda belakang membantu meningkatkan cengkaman apabila berdepan situasi sukar. Kekuatan di laluan off-road ini dipadankan dengan keupayaan menunda sehingga 3,500kg serta kapasiti mengangkut beban yang luar biasa mencecah 1,200kg.

Ranger mampu mencapai semua ini dengan tahap kelancaran yang jarang ada dalam segmen trak pikap. Ketika Ranger sedia ada sudah pun menetapkan standard dari segi pemanduan dan pengendalian, pasukan jurutera Ford telah menambah baik talaan suspensinya untuk memberi keselesaan serta pengendalian yang lebih baik.

Pengalaman pemanduannya dipertingkatkan lagi menerusi sistem stereng bantuan kuasa elektrik (EPAS). Ia menawarkan rasa stereng yang tepat, semula jadi dan meyakinkan. Dengan EPAS, stereng berasa ringan dan mudah dikendalikan ketika mengubah haluan pada kelajuan rendah seperti memasuki ruang parkir. Stereng akan menjadi lebih tepat apabila dipandu pada kelajuan tinggi. Bantuan ini akan diberi apabila diperlukan berdasarkan kepada kelajuan, sudut stereng, kuasa ketika membelok, memecut dan nyahpecutan.

Berkuasa dan lebih menjimatkan bahan api 

Kuasa, kemampuan dan kapasiti mengangkut beban serta menunda Ranger baharu yang mengagumkan dapat direalisasikan menerusi penggunaan enjin-enjin yang dipadankan dengan kotak gear manual atau automatik enam kelajuan. Kesemua empat enjin yang ada menawarkan pelanggan Ranger kombinasi terbaik dari segi kuasa dan kecekapan dalam apa jua keadaan. Selain mengotakan janji Ford untuk memberikan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan.

Untuk kuasa dan tork maksimum bagi tujuan menunda, Ford menawarkan enjin diesel generasi terkini 3.2 liter Duratorq lima silinder TDCi. Antara penambahbaikan yang diterima oleh enjin ini adalah sistem kitaran semula gas ekzos. Ia membantu meningkatkan penjimatan bahan api sehingga 12 peratus, pada masa yang sama mampu menjana kuasa mencecah 200PS dan tork setinggi 470Nm.

Pelanggan juga boleh memilih enjin diesel 2.2 liter Duratorq empat silinder TDCi generasi terkini Ford yang menawarkan penjimatan bahan api dan kelancaran yang signifikan. Enjin itu mampu menghasilkan kuasa 160PS tork 385Nm – lebih peningkatan dari segi kuasa dan tork berbanding enjin 2.2 liter pada Ranger sekarang.

Paling pintar dalam kelasnya  

Dilengkapi dengan rangkaian teknologi pintar, ciri-ciri Ranger yang intuitif membuatkan apa jua tugas menjadi semakin mudah. Varian berprestasi tinggi WildTrak menampilkan sistem ketersambungan di dalam kereta generasi terkini Ford, SYNC 2 yang terdiri daripada satu skrin sentuh berwarna bersaiz lapan inci untuk mengawal telefon, hiburan dan suhu dengan menggunakan sistem arahan suara yang mudah.

Dengan teknologi bebas tangan termaju Ford, para pemandu boleh mematuhi peraturan jalan raya dan kekal berhubung. Varian XLT yang popular juga dilengkapi ciri SYNC bersama paparan bersaiz 4.2 inci.

Satu lagi ciri yang pertama dalam segmennya dan dipasang pada Ranger baharu ialah sistem MyKey Ford yang eksklusif. Sistem ini membolehkan pelbagai ciri diprogramkan. Misalnya menetapkan had kelajuan maksimum, amaran memakai tali pinggang keledar dan volum maksimum untuk sistem audio.

Semua ciri ini direka untuk kemudahan pemandu. Ranger baharu merupakan satu-satunya trak pikap di Malaysia yang dilengkapi alat pengesan parkir di bahagian hadapan dan belakangnya. Ia turut menampilkan ciri Front dan Rear Park Assist serta kamera mengundur yang memberikan pandangan lebih jelas. Ia pastinya sangat berguna terutama ketika hendak masuk ke ruang parkir dan menarik trailer.

Dua lagi ciri yang memudahkan pemandu ialah lampu yang dipasang pada bekas kargo. Ia sememangnya diperlukan untuk menyiapkan tugasan yang diberikan. Sementara satu soket berkuasa  230 volt boleh digunakan untuk menghidupkan sebuah komputer riba di mana-mana sahaja, sama ada di tempat kerja atau ketika bercuti bersama keluarga. Kedua-dua ciri yang berguna ini eksklusif buat Ranger dalam segmen trak pikap ini.

Ciri keselamatan termaju

Ciri-ciri keselamatan termaju dan teknologi bantuan pemandu dapat membantu pemandu sentiasa berada dalam kawalan, walaupun ketika berada dalam kondisi jalan yang paling sukar.

Kerangka Ranger yang telah diperkukuhkan disokong dengan perlindungan daripada beg udara hadapan untuk pemandu dan penumpang pada semua varian. Sementara varian WildTrak pula dipasang dengan enam beg udara termasuklah beg udara sisi dan curtain.

Ranger juga dilengkapi Forward Alert, satu sistem bantuan pemandu pintar yang memberikan mereka amaran visual dan bunyi sekiranya ia berada terlalu hampir dengan kenderaan di hadapannya.

Sebagai tambahan, varian WildTrak dipasang dengan Adaptive Cruise Control, ciri yang menggunakan alat pengesan radar untuk mengesan trafik di hadapan dan mengubah suai kelajuan kawalan jelajah secara automatik bagi mengekalkan jarak yang selamat.

Ciri ini dilengkapkan lagi dengan sistem Lane Keeping Aid yang menggunakan kamera pada cermin pandang belakang. Ia akan membaca tanda jalan dan mengesan jika pemandu keluar daripada garisan secara tidak sengaja. Lane Keeping Aid menggunakan kuasa tork pada stereng untuk membawa pemandu berada di laluan yang betul semula. Sekiranya pemandu terus keluar dari laluannya, Lane Departure Warning akan memberi amaran kepada pemandu melalui satu getaran pada stereng.

Electronic Stability Control (ESC) dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX hadir sebagai ciri standard. Sekali gus menjadikan Ranger satu-satunya trak pikap di Malaysia yang menawarkan dua ciri keselamatan penting ini pada semua variannya.

ESC merupakan satu sistem keselamatan aktif yang meningkatkan tahap kawalan pemandu dalam apa jua keadaan. Ia memaksimumkan cengkaman serta kestabilan kenderaan di laluan biasa dan off-road. ESC akan mengurangkan kuasa tork enjin secara automatik dan/atau mengenakan brek kepada tayar-tayar tentu sekiranya kenderaan membelok secara berlebihan atau kurang daripada yang sepatutnya.

Satu lagi teknologi pintar yang ada pada semua varian ialah Hill Launch Assist – ia memastikan Ranger tidak bergerak selama tiga saat apabila pemandu mengalihkan kaki mereka daripada pedal brek. Ciri Adaptive Load Control dan Emergency Brake Assist.pula memaksimumkan kawalan ketika membawa beban yang berat.

Rekaan yang lasak dan moden

Penampilan Ranger baharu yang moden dan berani membuatkan Ranger kelihatan begitu berkuasa di atas jalan raya, seterusnya menyerlahkan keupayaannya. Rekaan hud yang lebih maskular bergabung dengan gril berbentuk trapezoidal yang nampak begitu mantap. Manakala lampu utama jenis projektor membolehkan trak pikap ini dapat dikenali secara serta-merta menerusi rupanya yang garang dan teknikal.

Rekaan luaran yang telah ditambah baik ini berpegang kepada matlamatnya untuk menjadi sebuah trak yang lasak dan boleh dipercayai. Ruang kabin yang kemas dan moden pula sarat dengan pelbagai eknologi pintar. Ia pasti memberi keselesaan dan rasa luas kepada pemandu dan penumpang, sebagaimana yang mereka harapkan daripada kenderaan sebesar ini. Walaupun ruang dalamannya kelihatan seperti sebuah kereta, material-material yang digunakan adalah sangat praktikal dan tahan lasak.

Mulai sekarang hingga 11 Oktober, para pelanggan boleh mengetahui sendiri kemampuan Ford Ranger menerusi acara ‘Tough Done Smarter Experiential Test Drive’. Setiap pengunjung dipadankan dengan seorang pemandu profesional yang akan membawa mereka melalui jalan mengujakan yang meniru persekitaran pemanduan sukar seperti mengharung air dan laluan curam. Banyak ciri Ranger baharu akan ditunjukkan. Ini termasuklah teknologi bantuan pemandu seperti e-Locking Rear Differential, Hill Launch Assist, Hill Descent Control, Forward Collision Warning dan sistem ketersambungan Ford SYNC 2.

Acara ‘Tough Done Smarter Experiential Test Drive’ akan diadakan di kawasan luar Central Park Avenue (pintu masuk utama di Ground Floor) pusat membeli-belah 1Utama. Tidak perlu menempah terlebih dahulu. Masuk adalah percuma.

Harga dan Warna

Harga rasmi Ranger di Semenanjung Malaysia termasuk Ranger XL yang berharga dari RM91,588 seunit di atas jalan, Ranger XLT yang berharga dari RM101,388 seunit di atas jalan, dan 3.2L Ranger WildTrak pada harga RM132,188.

Para pelanggan Ranger boleh memilih daripada enam warna, seperti Pride Orange, Cool White, Metropolitan Grey, Aluminium Metallic, Black Mica and Aurora Blue.

Picture 1

Maklumat lanjut, sila layari laman web: www.ford.com.my.

Previous post

Akan Datang: Nissan Navara NP300 Serba Baharu

Next post

Tayar MICHELIN Primacy SUV Baru

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *