BMW Group Malaysia Perkenalkan BMW X1 Serba Baharu.
BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan generasi kedua model Sport Activity Vehicle (SAV) kompak premiumnya yang cukup berjaya, BMW X1 sDrive 20i serba baharu.
Sebagai pengganti kepada model yang memberi impak besar dalam segmen kompak premium, BMW X1 serba baharu hadir dengan rekaan bentuk badan model BMW X sepenuhnya yang dibina daripada perkadaran yang rugged serta penampilan mengagumkan. Bahagian dalamannya pula menawarkan lebih banyak ruang bersama ambien premium dan fungsi yang dibina berasaskan kepada kejuruteraan terbaik. Selain aspek dinamik pemanduan dan kecekapan yang menerajui industri, BMW X1 serba baharu turut dilengkapi dengan pelbagai ciri inovatif. Semua ini digabung untuk membuatkannya lebih menonjol sebagai sebuah jentera urban yang serba boleh.
Berucap di majlis pelancarannya, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia Alan Harris berkata, “Generasi pertama BMW X1 telah mencipta segmen kompak premium dan mendefinisikan semula segmen itu menerusi keseronokan pemanduan yang sangat sinonim dengan model-model BMW X. Dengan penampilannya yang garang, versatiliti, sistem ketersambungan inovatif dan teknologi termaju BMW EfficientDynamics, BMW X1 serba baharu nyata memiliki semua elemen untuk terus menyerlah dalam segmen yang dipelopori oleh model sebelumnya.”
BMW X1 serba baharu ditawarkan dalam varian Sport Line. Ia menjadi model BMW X pertama yang menggunakan platform pacuan roda hadapan baharu dan dioptimumkan kecekapannya daripada sistem pacuan semua roda pintar BMW xDrive. Antara kelebihan lain BMW X1 sDrive20i serba baharu termasuklah enjin empat silinder baharu yang berkuasa dan sangat efisien, teknologi chasis serba baharu, rekaan dalaman baru dengan ruang dan versatiliti yang telah ditambah baik secara signifikan. Di samping itu adalah rangkaian teknologi BMW ConnectedDrive baharu yang komprehensif dan mendahului segmennya – pertama dalam segmen premium di Malaysia.
Reka Bentuk: Penampilan yang berkuasa di atas jalan bersama ciri tipikal rekaan X.
Bermula daripada BMW X1 yang asal kepada model generasi kedua serba baharu, SAV ini telah menjalani proses kematangan yang jelas diserlahkan menerusi rekaan dalaman dan luarannya. Perkadaran yang mantap, rekaan permukaan penuh kuasa dan ciri-ciri tipikal sebuah Sports Activity Vehicle memberikan BMW X1 serba baharu penampilan yang jelas dan dapat dikenal pasti dengan pantas sebagai ahli keluarga model BMW X.
Sebagai sebuah SAV paling sporty dalam kelasnya, BMW X1 serba baharu menyerlahkan sifat rugged dan atletik melalui bentuk baji yang dinamik, sudut arca roda dan posisi kerangka penumpang yang lebih ke tengah. Bahagian hadapan nampak rugged dengan gril kidney dan penampilan penuh karekteristik melalui “six-eyes” yang terhasil daripada lampu utama berkembar berbentuk bulat itu. Lampu utama LED turut menampilkan beberapa ciri seperti lampu nyalaan siang (DRL) LED dan lampu parkir, lampu membelok, lampu adaptif dan lampu belakang LED. Lampu belakangnya hadir dengan jalur lampu berbentuk L yang biasa ada pada model BMW. BMW X1 serba baharu juga dipasang dengan rim aloi jejari berkembar bersaiz 18 inci sebagai ciri standard untuk pakej Sport Line.
Dengan panjang 4,439 millimeter, lebar 1,821 millimeter dan tinggi 1,598 millimeter, perkadaran BMW X1 serba baharu meniru cetakan biru model Sports Activity Vehicle, tetapi dalam bentuk yang lebih kompak. Namun, dengan penambahan ketinggian sebanyak 53 milimeter, BMW X1 serba baharu menawarkan keluasan ruang dalaman yang mengagumkan. Model serba boleh ini bukan sahaja mampu menawarkan lebih ruang untuk penumpang dan bagasi, malah ia juga padat dengan aspek versatiliti tambahan apabila kapasiti mengangkut bebannya digunakan.
Perubahan paling ketara adalah dari segi kefungsian, keselamatan dan keselesaannya. Posisi tempat duduk BMW X1 serba baharu dinaikkan sebanyak 40mm yang memberikan pemandu dan penumpang beberapa faedah. Antaranya ialah pandangan sekeliling yang lebih jelas, sekali gus menjadikannya lebih selamat di atas jalan raya. Urusan keluar masuk daripada BMW X1 serba baharu kini semakin mudah untuk semua penumpang. Gabungan posisi panel instrumen yang direndahkan dan tingkap bersaiz besar sememangnya memberikan rasa ruang kabin yang luas.
Ketika BMW X1 serba baharu mengujakan kehidupan harian di kawasan urban melalui dimensi luarannya yang kompak, apa yang sebaliknya adalah lebih menarik. Hasil penggunaan platform pacuan roda hadapan dan enjin dengan kedudukan melintang, BMW X1 serba baharu memiliki rung dalaman yang luas dan versatil. Sebagai contoh, tambahan ruang kaki sebanyak 37mm untuk penumpang belakang telah membawa keselesaan BMW X1 serba baharu ke tahap seterusnya. Tempat duduk belakang yang boleh dilipat dengan konfigurasi 40/20/40 sebagai ciri standard meningkatkan keselesaan dan kapasiti kargo daripada 505 kepada 1,550 liter.
Ciri tambahan yang ada pada BMW X1 serba baharu termasuklah corong pendingin hawa untuk penumpang belakang, stereng sports dibalut kulit, brek parkir elektrik dan dua ruang meletak minuman di hadapan dengan penutup. Manakala pakej kompartmen terdiri daripada ruang penyimpanan barang di bahagian bawah tempat duduk, jaring pada bahagian belakang tempat duduk hadapan, perehat tangan dengan pemegang botol minuman dan banyak lagi.
Rangkaian kuasa dan pengalaman memandu: pelbagai inovasi untuk kemampuan yang lebih menyerlah.
BMW X1 serba baharu menggunakan satu rangkaian kuasa serba baru iaitu enjin empat silinder yang dipasang secara melintang dan diambil daripada generasi enjin terkini BMW Group. Ia menawarkan prestasi dinamik di atas jalan raya dan keseronokan di atas laluan yang licin menerusi konfigurasi pacuan roda hadapan yang telah dioptimumkan.
BMW X1 sDrive20i serba baharu dikuasakan oleh enjin bersesaran 2.0 liter. Dengan teknologi BMW TwinPower Turbo, ia mampu menghasilkan kuasa maksimum 192hp dan tork puncak 280Nm. Kuasa itu membolehkannya memecut dari 0 ke 100km/j dalam masa 7.7 saat dengan kelajuan maksimum 225km/j. Purata penggunaan bahan api ialah 5.9 liter bagi setiap 100 kilometer. Manakala emisi C02 pula adalah sekitar 136 gram bagi setiap kilometer.
Keseronokan pemanduan dan penjimatan bahan api yang ditawarkan oleh BMW X1 serba baharu tidak berakhir di situ. Selain enjin BMW EfficientDynamics generasi terbaharu, BMW X1 serba baharu turut menggunakan teknologi BMW EfficientLightweight dan aerodinamik yang sofistikated untuk mengurangkan seretan serta meningkatkan penjimatan bahan apinya.
Semua ini dapat direalisasikan melalui gabungan pelbagai material pintar seperti besi regangan tinggi dan aluminium ringan. Ia berfungsi meningkatkan aspek kelincahan, mengurangkan getaran serta menambah baik keselamatan dengan berat kenderaan yang optimum. Bonet, bampar dan banyak komponen chasis diperbuat daripada aluminium. Sementara kawalan corong udara, Air Curtains, pemesong udara pada arca roda, bahagian bawah kenderaan yang lancar dan aeroblade pada bahagian belakang membolehkannya mencatat kadar seretan serendah 0.28.
Kombinasi enjin BMW TwinPower Turbo yang ekonomikal, binaan ringan yang pintar dan ciri aerodinamik yang sofistikated itu disempurnakan lagi dengan teknologi-teknologi BMW EfficientDynamics seperti fungsi Automatic Start/Stop serta mode ECO PRO.
BMW X1 serba baharu juga menjanjikan dinamik dan kelincahan yang cukup sinonim dengan BMW. Dengan gandar hadapan yang baru dibangunkan, BMW X1 serba baharu menawarkan belokan yang lincah dan menerima maklum balas stereng yang tepat melalui stereng kuasa Servotronic. Manakala sistem suspensi belakang jenis multilink ditala secara khusus demi menepati piawaian BMW untuk kenderaan pacuan roda hadapan. Ini meningkatkan lagi potensi dinamik kenderaan. Malah, kelincahan dan kestabilan boleh dicapai melalui sistem BMW Performance Control.
BMW ConnectedDrive: kemajuan melalui ketersambungan pintar.
Sistem bantuan pemandu yang mendahului kelasnya, mempunyai pelbagai pilihan dan perkhidmatan mobiliti daripada BMW ConnectedDrive pada BMW X1 serba baharu kini berada di satu penanda aras yang baru. Ia juga membuatkan SAV kompak premium ini sebagai kenderaan yang memiliki teknologi paling maju dalam segmennya.
BMW ConnectedDrive di dalam BMW X1 serba baharu menawarkan BMW ConnectedDrive Services & Apps dan sistem BMW ConnectedDrive Driver Assistance.
BMW ConnectedDrive Services and Apps yang ada pada BMW X1 serba baharu membolehkan penggunaan portal internet BMW Online menerusi satu SIM kad yang dipasang pada kenderaan. Selain membenarkan integrasi aplikasi telefon pintar dengan kereta. Ini termasuklah:
Intelligent Emergency Call akan mencipta satu sambungan secara automatik dengan pusat koordinasi kecemasan berhampiran melalui Pusat Panggilan BMW apabila diperlukan, tanpa perlu menggunakan telefon bimbit. Ia menghantar maklumat lokasi terkini kenderaan dan tahap keseriusan kemalangan. Selain boleh diaktifkan secara manual sekiranya pengguna jalan raya yang lain memerlukan bantuan.
Concierge Services boleh diakses dengan hanya menekan satu butang. Pemandu akan disambungkan dengan Pusat Panggilan BMW yang bertindak sebagai “pembantu peribadi” mereka di atas jalan raya. Sama ada destinasinya sebuah restoran tertentu, mesin ATM terdekat atau hotel, agen Pusat Panggilan BMW bersedia untuk membantu 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Maklumat destinasi yang diinginkan kemudan akan dihantar terus ke sistem navigasi.
Remote Services membolehkan pemandu menukar telefon pintar mereka menjadi alat kawalan jauh yang mudah dan pintar untuk kenderaan menggunakan aplikasi MY Remote. Mengunci dan membuka kenderaan misalnya, boleh dilakukan dari jauh. Lampu utama boleh dinyalakan atau hon boleh dibunyikan menggunakan telefon pintar jika kenderaan tidak ditemui.
Sistem Bantuan Pemandu BMW ConnectedDrive merangkumi:
Kemampuan Intelligent Parking dengan ciri Parking Assistant membuatkan urusan memarkir di ruang selari lebih mudah. Sama ada diaktifkan atau tidak, sistem ini mengukur ruang yang berpotensi ketika ia dipandu pada kelajuan bawah 35km/j dan jarak maksimum 1.5 meter daripada barisan kereta yang diparkir. Apabila satu ruang yang cukup luas ditemui, pemandu hanya perlu memasang lampu isyarat membelok dan Parking Assistant akan mengambil alih stereng. Pemandu bagaimanapun perlu menekan pedal minyak, brek dan menukar gear. Sistem itu juga memberi arahan pada Control Display bersama isyarat akustik tambahan. Ciri ini membolehkan pemandu kekal tenang dan selamat ketika memarkir kenderaan.
BMW Navigation Professional dengan Control Display bersaiz 6.5” dan iDrive Controller menawarkan operasi sistem iDrive yang mudah serta intuitif.
BMW X1 serba baharu didatangkan dalam warna putih (Alpine White), hitam (Black Sapphire), kelabu (Mineral Grey), gangsa (Chestnut Bronze) dan biru (Mediterranean Blue) bersama pilihan warna upholsteri kulit Dakota seperti hitam, merah serta Mocha.
Harga jualan runcit di atas jalan, tidak termasuk insurans bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had selama 5 tahun BMW Malaysia dan Program Servis Berjadual Percuma BMW X1 sDrive20i serba baharu ialah RM 279, 800.00
No Comment