Cuba Try

Pandu Uji: Volkswagen Tiguan Highline

Segmen SUV adalah antara segmen paling mencabar, sekurang-kurangnya di negara ini, di mana hampir pengeluar kenderaan utama dari benua Asia dan Eropah bersaing antara satu sama lain untuk menghasilkan tawaran terbaik demi memikat citarasa pembeli di Malaysia yang kadangkala sifatnya sangat memilih.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) menjadi pengeluar pertama yang memulakan ‘serangan’ tahun ini dengan pelancaran Tiguan pada bulan April lalu. Langkah ini penting bagi syarikat itu dalam usahanya bukan sahaja untuk menembusi pasaran SUV, malah menaikkan semula jenama Volkswagen di negara ini.

Volkswagen Tiguan

Tiguan ditawarkan dalam dua varian iaitu Comfortline (RM148,990) dan Highline (RM168,990) sebagai varian tertinggi. Sama seperti Passat, ia dibina berasaskan platform MQB dan dipasang di kilang Volkswagen yang terletak di Pekan, Pahang.

Volkswagen Tiguan

Dari aspek rekaan luaran, Tiguan mengekalkan imej sederhana Volkswagen dengan garis-garis lurus yang jelas terpampang di hadapan dan sisi badannya. Ia masih sebuah kenderaan yang tampan dan kemas, namun agak kurang menonjol terutamanya jika dikelilingi SUV dari Jepun yang kelihatan lebih tajam dan liar.

Volkswagen Tiguan

Biarpun kelihatan bersahaja, bahagian luaran SUV ini cukup lengkap. Ia didatangkan dengan lampu depan LED dengan lampu nyalaan siang LED, rim aloi ‘Kingston’ bersaiz 18 inci, dan rel bumbung dalam kemasan krom.

Volkswagen Tiguan

Bahagian dalaman dirasakan lebih premium berbanding model generasi pertama, hasil dari penggunaan bahan dan kemasan berkualiti terutamanya pada papan pemuka. Upholsteri kulit Vienna menaikkan lagi seri SUV ini.

Volkswagen Tiguan

Ruang lega kepala memuaskan manakala ruang kaki penumpang belakang juga cukup luas kerana jarak roda (wheelbase) Tiguan telah dipanjangkan sebanyak 77 mm berbanding sebelum ini.

Volkswagen Tiguan

Bukan itu sahaja, anda juga boleh membawa lebih banyak barang di belakang kerana ruang but juga meningkat dari 470 ke 615 liter. Lipat tempat duduk belakang sepenuhnya dan anda akan mendapat ruang dengan kapisiti 1,655 liter.

Volkswagen Tiguan

Kelengkapan yang disertakan bagi varian Highline termasuklah skrin Paparan Info Aktif bersaiz 12.3 inci, tempat duduk kuasa dengan 12 cara pelarasan dan sokongan lumbar dan sistem pendingin hawa tiga-zon automatik. Skrin tersebut menyediakan enam mod paparan, termasuk Off-Road.

Volkswagen Tiguan

Saat mendengar bahawa Tiguan dikuasakan oleh enjin 1.4-liter, anda mungkin tertanya-tanya jika ia cukup untuk SUV sebesar ini. Secara keseluruhan, adil untuk mengatakan bahawa kuasa yang dihasilkan iaitu 148 hp dan 250 Nm adalah cukup memadai untuk menggerakkan kenderaan seberat 1,450 kg ini, lebih-lebih lagi dengan tork dihasilkan seawal 1,500 rpm membantu dalam pecutan.

Volkswagen Tiguan

Kotak gear DSG enam kelajuan yang menyalurkan kuasa ke roda hadapan juga dilihat sebagai padanan yang sempurna untuk enjin pengecas turbo itu dengan penukaran gear yang cepat ketika sedang memecut. Cuma, kelancaran transmisi dirasakan sedikit terganggu ketika berhadapan dengan trafik dalam bandar dan lampu isyarat.

Volkswagen Tiguan

Di lebuh raya, SUV ini mempamerkan pemanduan yang cukup selesa untuk seisi keluarga. Gabungan suspensi MacPherson dan ‘multi-link’dengan tayar Hankook Ventus bersaiz 18 inci membuatkan ia seolah-olah ‘melekat’ di atas jalan, walaupun di atas permukaan berombak. Bagaimanapun, bunyi angin dan tayar agak jelas kedengaran walaupun jarum baru sahaja mencecah angka 120 km/j.

Volkswagen Tiguan

Setelah beberapa hari memandu Tiguan, boleh dirasakan bahawa ia lebih selesa dipandu di atas lebuh raya yang lurus berbanding jalan bengkang bengkok. Jangan salah faham – SUV ini mempunyai pengendalian yang baik dan ligat, namun dengan saiz dan ketinggiannya anda perlu berusaha lebih sedikit ketika menghadapi selekoh.

Volkswagen Tiguan

Bersaing di dalam segmen yang begitu sukar, Tiguan berhadapan dengan saingan sukar namun ia tetap mempunyai kelebihan terutamanya dari segi enjin serta ruang dan keselesaan yang ditawarkan. Ciri keselamatan yang meluas juga pasti membuatkan pemandu dan mereka yang bekeluarga sentiasa tenang.

Volkswagen Tiguan

Spesifikasi Volkswagen Tiguan Highline
Enjin: turbo empat silinder
Kapasiti: 1,395 cc
Kuasa: 148 hp @ 5,000 rpm
Tork: 250 Nm @ 1,500 rpm
Transmisi: DSG enam kelajuan
0-100 km/j: 9.2 saat
Kelajuan maksimum: -
Harga: RM168,990

 

Previous post

Perodua beri diskaun alat ganti dan pemeriksaan percuma kepada mangsa banjir Pulau Pinang

Next post

Land Rover Pratonton Discovery Semua Baharu Buat Kali Pertama di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>